Sunday, January 30, 2011

Mukadimah

Masa terus berlalu
Hari silih berganti
Meskipun jalan beribu liku
Akhirnya sampai ke destinasi

Syukur Alhamdulillah hari ini 1.1.11 tiba aku ke destinasi. Fasa pertama iaitu alam persaraan, destinasi sementara sebelum menemui Ilahi. Yang pastinya 2/3 dari hidup ini telah ku harungi bersama di sini setelah lebih 36 tahun berkhidmat.

Tentunya dalam masa sebegini dan di sepanjang hidup ini berbagai suka duka, tangis tawa telah aku lalui. Aku paparkan di sini kisah silam ku. Realiti & Imaginasi yang telah di adun bersama asam garam kehidupan. Namun nama-nama watak yang terbabit di sini bukanlah nama sebenar. Sekiranya ada mungkin itu hanyalah secara kebetulan. Seandainya ada yang menyentuh perasaan, terkilan atau terguris di hati segunung kemaafan dan selaut keampunan ku pinta.

Hidup, cinta dan airmata hanyalah sebuah kisah untuk tatapan.

Yang baik jadikanlah tauladan
Yang buruk jadikanlah sempadan

Senyumlah dan ketawalah sekiranya ada yang menggelikan hati. Cubalah tahan emosi, jangan menangis meskipun sedih. Janganlah pula bertindak geram kiranya marah. Yang perlu sama-samalah kita mahasabah diri. Selagi kita masih bernafas selagi itulah kita masih lagi berpeluang untuk memperbetulkan diri.

Salam hormat dan terima kasih kepada yang sudi meluangkan masa untuk hadir bersama di sini.