Wednesday, March 27, 2013

'NINA'

Jalan berbukit dihiasi air terjun dan pepohonan menghijau mewujudkan panorama yang cukup indah. Inilah jalan yang sering aku lalui.

Disuatu selekoh adakalanya sering kelihatan monyet bersantai menunggu belas ihsan daripada manusia yang sudi menghulurkan sedikit makanan. Mungkin persekitaran hutan ini sudah tidak cukup makanan untuk menyara mereka atau mungkin kerana adanya insan yang bermurah hati menjadikan gerombolan monyet-monyet ini berada di sini. Hati ku berbisik sendirian.

Hari itu aku bersama isteri melewati kawasan ini namun tiada pula monyet-monyet yang kelihatan. Mungkin kerana hari semakin meninggi dan panas mentari telah memancar kebumi.

Tiba-tiba isteri ku spontan bersuara. 'Eeh abang berhenti bang ada monyet dan anaknya terbaring di tepi jalan. Setelah ku amati ku lihat seekor monyet terdampar mati. Ada kesan dilanggar kenderaan.. manakala anak kecilnya yang masih hidup melekap disusu ibunya.

Hati ku terlalu hiba. Isteri ku mengalir airmata. Anak monyet dan ibunya ku angkat masuk ke kereta dan ku bawa pulang kerumah.

Setelah  ibu monyet selamat ku semadikan, anaknya pula disediakan botol susu dan puting olih isteri ku agar ia dapat terus menyambung hidup.


Hari demi hari, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, 'Nina'anak monyet betina yang ku bela sudah cukup dewasa. Terlalu manja menjadi kesayangan aku sekeluarga.



Namun kini isteri ku cukup perasan perangai 'Nina' semakin pelik. 'Nina' amat suka berada disampingku dan akan menjauhkan dirinya daripada isteriku. Nina akan menarik tangan ku, kaki ku atau memegang kepala ku. Ada saja yang akan diusiknya. Namun peristiwa yang berlaku petang tadi kebetulan dihadapan isteri ku membuatkan kemarahan isteri ku sampai ke kemuncaknya. Malah aku sendiri cukup terperanjat dengan sikap 'Nina' yang telah menarik kain pelikat ku hingga tertanggal. Mujur di ketika itu aku memakai seluar 'boxer'.

'Abang, esok pagi-pagi kita hantar 'Nina' ketempat kita jumpanya dahulu agar ia dapat kembali berkawan dengan monyet-monyet di situ. Kalau dah monyet tetap juga monyet'. Isteri ku melahirkan perasaan marahnya. Kasih sayangnya kepada 'Nina' sudah sampai ke penghujungnya.

'Oklah'. Jawapan daripada aku. Aku faham masanya sudah tiba untuk 'Nina kembali ke habitatnya.

Besoknya berbekalkan sedikit makanan aku dan isteri ku meninggalkan 'Nina' ditempat tersebut. Melalui cermin kereta aku dapat melihat ada monyet lain yang menghampiri 'Nina'. Isteri ku langsung tidak menolih ke arah 'Nina'. 

Tiga hari berselang aku dan isteri ku melewati tempat ini ketika pulang dari Kuala Lumpur. Atas permintaan isteri ku aku berhentikan kereta betul-betul ditempat 'Nina' kami tinggalkan. Ternyata naluri isteri ku sebagai seorang ibu meskipun benci tapi masih tetap rindu. Aku dan isteri ku keluar dari kereta dan meninjau-ninjau persekitaran. 

Tiba-tiba sahaja seekor monyet berlari kearah isteri ku. Tangannya memeluk leher isteri ku sambil menangis teresak-esak. Kerana tak sampai rasa hati kini 'Nina' kami bawa kembali ke rumah.

Di rumah 'Nina' lebih banyak mendiamkan diri. Sikapnya jua jelas berubah. Tidak lagi seperti dahulu yang sering sahaja mengusik aku.

Petang itu aku berbual dengan Hj. Kassim jiran ku yang sering sahaja bercerita dengan ku mengenai monyet dan sebagainya. Menurut kata Hj. Kassim monyet yang telah tinggal dengan manusia akan ada bau manusia pada dirinya. Ini menjadikan monyet-monyet lain tidak lagi dapat menerima kehadirannya.

Inilah hakikat sebenar yang terjadi kepada 'Nina'. Biarlah 'Nina' menjadi sebahagian daripada keluarga kami sehingga akhir hayatnya.






Thursday, September 6, 2012

BEBAN TAK TERTANGGUNG

Selepas berpindah kerumah baru, jarak aku ketempat kuliah menjadi semakin jauh. Kalau dahulu baru 20 km kini sudah menjadi lebih 40 km.

Aku terpaksa menempuh jalan yang berliku, berbukit dan melalui kawasan yang tidak berpenghuni. Namun kerana inilah jalan yang terdekat dan menjadi jalan pintas tidak hairanlah jika masih terdapat kenderaan yang melewati jalan ini meskipun pada larut malam.

Pada awal berpindah kesini aku bernasib baik kerana ada seorang teman sekuliah yang tinggal di sini dan kami sering bergilir kereta. Namun kini aku perlu bersendirian kerana teman ku ini telahpun berpindah ke Putrajaya.

Pernah suatu ketika aku hampir terbabas kerana jalan berliku pada pandangan ku nampak lurus. Mujur aku cepat tersadar kerana kenderaan di belakang ku membunyikan hon sambil menyalakan lampu tinggi malah nasib ku agak baik kerana aku juga memandu tidak laju.

Kini fikiran ku berbelah bagi. Meneruskan saja kuliah atau berhenti sahaja setakat ini kerana isteri ku sering sahaja melahirkan rasa bimbangnya. Aku masih teringat kata-kata sahabat ku yang juga teman sekuliah yang kini menetap di Bukit Belachan. Katanya "Kalau kita pergi belajar bagi mendapatkan ilmu, tambah-tambah lagi ilmu yang bolih mendekatkan diri kita dengan Allah sendainya kita kembali kerahmatullah diketika perjalanan pergibalik maka kita bolih dikategorikan sebagai Syahid'. Ya syahid mempunyai berbagai peringkat. Hati ku berbisik sendirian.

Pada suatu malam setelah tamat kuliah, Pensyarah mengadakan pula muzakarah mengenai beberapa topik semasa yang amat menarik untuk diperbincangkan. Tanpa disedari jam 11.30 malam baru perbincangan berhenti. Aku bergegas ke kereta. Isteri ku di rumah pasti bimbang kerana kebiasaanya waktu sebegini aku sudah sampai kerumah.

Aku memandu agak laju. Menyusuri liku-liku dan jalan berbukit. Tiada pula kereta lain yang melewati jalan ini yang bolih di ikut sebagai teman. Sampai di suatu tempat yang menjadi sumber bekalan air gunung yang mengalir airnya berterusan, hati ku berasa lega kerana sampai di sini bermakna aku sudah melewati lebih setengah perjalanan. Namun ku lihat ramai pula orang di sini seolah-olah ada pasar malam. Begitu meriah sekali. Aku teruskan saja perjalanan.

Di hadapan jalan mulai menurun. Biasanya tanpa menekan minyak kelajuan bolih mencecah 100 km sejam. Meskipun begitu aku pelik kerana MPV ku terasa berat dan tak mampu bergerak laju. Ku lihat ada sebuah kereta yang datang dari hadapan juga bergerak perlahan kerana sedang mendaki bukit. Kereta ini mengelip-ngelipkan lampunya kepada ku. aku juga membalasnya kerana mungkin pemandu kereta tersebut mengenali aku.

Kini aku terasa kereta ku semakin luarbiasa. Masakan enjin 2.0 tak mampu bergerak laju, malah seolah-olah sedang membawa beban yang amat berat. Ku perhatikan pada ruang penumpang melalui cermin kereta. Tak ada sesiapa pun. Memang aku bersendirian. Kumat kamit mulut ku membaca ayat-ayat Quran kerana sesungguhnya hanya Allah sahaja tempat kita berserah dan memohon pertolongan.  

Akhirnya aku sampai kerumah. Ku buka pintu pagar. Namun .................ketika aku menolih kembali ke kereta ku, ku lihat ramainya penumpang berada di atas bumbung kereta. Pandangan ku tidaklah begitu jelas kerana diketika itu aku hanyalah bertemankan cahaya bulan yang hampir diselaputi awan.

Mujur aku tidak panik. Ku pejamkan mata, ku bacakan ayat-ayat Quran dan ku hembuskan kearah mereka. Bila ku bukakan kembali mata tiada sesiapa pun lagi yang berada di sana.

Hari minggu yang berikutnya kawan ku menelefon ku nak berjumpa. Macam biasa tentulah Awi nak ajak aku pergi memancing. Tekaan ku bermain di kepala.

'Eh, kalau tak silap aku malam jumaat lepas aku ada berselisih kereta kamu dekat tempat air gunung sana'. Awi memulakan percakapannya.

'Jadi kamulah yang kelip-kelip lampu kat aku'. Balas ku.

'Tapi aku pelik, mungkin mata aku saja yang melihat begitu'. Tambah Awi lagi.

'Apa dia'. Cepat saja mulutku bertanya.

'Ada ramai orang atas bumbung kereta kamu, tapi pemandangan aku tak berapa jelas'. Awi menjawab dan mengerutkan dahinya.

Aku hanya mampu tersenyum. 'Kali ni kat mana pula kita nak pergi memancing. Carilah port baru'. Balas ku.

Aku akan ceritakan kepada Awi ketika memancing nanti apa yang sebenarnya berlaku.

Namun peristiwa beban tak tertanggung olih MPV ku tetap segar dalam ingatan.

Aku pun kini sudah mengikuti kuliah di tempat baru yang tidak jauh dari rumah ku. Kuliah diadakan pada sebelah siang hujung minggu. Sesungguhnya proses menuntut ilmu tidak akan berakhir sehinggalah ke liang lahad.



Thursday, August 4, 2011

Salah Teka

Kerana aku bukanlah jejaka yang kacak, sering saja sapaan atau teguran ku kepada gadis-gadis yang cantik ataupun mereka yang perasan cantik disalah erti, disalah teka dengan persepsi yang negatif.

Bukan aku tak sedar siapa diri ku ini. Tapi naluri ku terpanggil untuk menegur sesuatu yang amat perlu. Inilah diantara cerita yang pernah terjadi.

Cerita 1

Di dalam perjalanan kerumah kakak ku, aku terpaksa bertukar bas. Kata orang naik bas lompat-lompat kerana tiada bas yang terus saja sampai ke destinasi yang dituju.

Perjalanan dari Kampar ke Tapah aku duduk bersebelahan dengan seorang gadis. Kulitnya putih, rambut ikal mayang, matanya galak. Memang cantik. Kerana dia perasan dirinya cantik senyuman ku kepadanya langsung tidak dipeduli.

Aku duduk disebelah tingkap sambil menikmati keindahan panorama di sepanjang perjalanan. Tiba-tiba saja bahu ku terasa berat. Rupanya gadis disebelah tertidur ke bahu ku. Spontan saja ku sentuh bahunya dan menyebut 'Cik, cik, cik'

Dia yang tersedar memandang kepada ku dengan muka yang mencuka.Tanpa rasa kesal dan meminta maaf.

Hati ku berkata dalam hal ini aku pula yang disalahkannya. Ku pujuk rasa hati untuk bisa saja mengerti.

Sampai di stesyen bas Tapah semua penumpang turun. Aku turun di belakangnya.

Sekali lagi naluri ku terpanggil untuk menegurnya.

'Cik saya ada sesuatu nak beritahu'. Sapa ku.

Dia mengangkat mukanya yang masam dan bersuara. 'Eh! ada apa hal lagi, I rasa tak ada apa yang perlu. You nak I minta maaf. Ahhh!..... yang tentunya you suka I tertidur kat bahu you kan.......'.

'Bukan perkara itu, ini perkara lain'. Aku bersuara lembut.

'Ahhaaa! ........cepatlah cakap'. Dia bersuara namun nadanya tidaklah sekeras tadi.

'Belakang you basah'. Aku mengingatkannya.

Spontan saja perkataan 'Ye kee' sambil tangannya kearah tempat yang sepatutnya.

'I minta maaf kerana berkasar dengan you tadi'. Ujarnya sambil mengucapkan terima kasih dan melemparkan senyuman manis terhadap ku. Tergesa-gesa saja dia menuju ke Toilet.

Aku mengerti hal wanita kerana edaran bulannya dah tiba.

Aku meneruskan perjalanan ku dengan bas lain dari Tapah ke Sungkai.

Cerita 2

Aku ke pasaraya untuk membeli keperluan harian berseorangan kerana kebetulan rakan serumah ku balik ke kampung.

Sambil menolak trolley tiba-tiba saja aku terpandang seorang gadis berjalan berseorangan di sudut khas yang bertulis 'Non Halal'. Disamping minuman keras di situ juga ada menjual daging. Ku lihat gadis tersebut membelek-belek sesuatu yang di jual di situ.

Aku pasti dia seorang Muslim. Spontan saja aku berteriak kepadanya. 'Eh.. Cik kenapa you pergi ke situ ??.

Bergegas dia datang kepada ku dengan riak muka yang marah dan bersuara 'Hei!! .....apa hal you dan you nii siapa??.

'Saya seorang Muslim, pastinya you juga Muslim'. Aku bersuara.

'Yaa .....'. Jawab gadis tersebut.
'Oooh, kalau begitu kenapa you pergi ke situ. Di situ kan tempat menjual daging babi.' Aku menjelaskan keadaan.

Tiba-tiba saja gadis itu tersentak dan mengucap 'Astaqfirullah hal azim'. I tak perasan.' Raut wajahnya penuh dengan kekesalan.

'I minta maaf dengan you kerana terkasar tadi. Terima kasih'. Dia terus berlalu ke toilet. Mungkin nak basuh tangan. Aku membuat andaian.

Sekali lagi aku bersuara. 'Kalau dah tersentuh perlu di samak.'

Begitulah keadaan diri ku ini. Teguran yang sering disalah teka lantaran aku nii miskin rupa.
Sesungguhnya setiap kejadian Allah itu indah belaka. Membenci ciptaan Allah seolah-olah membenci penciptanya. Wallah hua'lam.

Thursday, May 19, 2011

HANTU PUN TAKUT

Menurut yang empunya cerita, kisah berlaku di zaman air paip dan lampu letrik belum lagi ujud.

Sebermula al kisah, di hujung kampung di pinggir hutan tinggallah Mak Minah (popular sebagai Minah Leter) dan suaminya Pak Selamat (yang selalu saja rasa tak selamat). 

Mereka dikurniakan dua orang anak. Seorang putera dan seorang puteri. 

Pada peringkat awal semasa masih muda leteran Mak Minah biasa saja. Namun keadaan kian berubah sejajar dengan peringkat usia dan keadaan semasa. Dari tahap moderate telah berubah ke severe.

Seperkara lagi yang lupa nak diceritakan ialah Mak Minah dan Pak Selamat juga ada membela ayam, itik dan seekor kucing (Panda namanya).

Sejak menopouse leteran Mak Minah telah sampai ke tahap maksima. Anak-anaknya yang telahpun berumahtangga kini semakin jarang menziarahinya. Kalau pulang pun hanya sekejap sahaja ataupun pada malam hari ketika Mak Minah dah mengantuk nak tidur.

Pak Selamat kalau keluar rumah akan mengambil masa yang agak lama baru pulang. Itupun sampai saja di rumah leteran lah yang pasti akan menyambutnya. Ayam dan itik pula tidak selera untuk makan jika Mak Minah yang memberi mereka makan. Mereka akan lebih gembira dengan Pak Selamat kerana dengan Pak Selamat mereka akan merasa lebih selamat.  Panda (kucing kesayangan Mak Minah dan Pak Selamat) lebih rela cari makan sendiri daripada diberi makan olih Mak Minah.

Begitulah seriusnya tahap leteran Mak Minah.

Suatu hari Pak Selamat baru saja pulang dari kebun. Rumahnya sunyi saja. Biasanya leteran Mak Minahlah yang akan menyambutnya. 'Eh.. pelik nii'. Pak Selamat bersuara dalam hati. Ayam dan itik malah Panda kucing kesayangan juga turut sama menjengah kerumah kerana kehairanan.

'Eh ... aman pula rasanya hari ini'. Kata Pak Selamat dalam hati. Mungkin itu juga yang diperkatakan olih ayam, itik dan Panda.

Namun setelah satu jam berlalu Pak Selamat mengeluh. 'Terasa sunyi pulak rasanya hari ini'.

Pak Selamat pergi ke perigi kerana ndak mandi. Perigi terlalu dalam. Air diambil menggunakan timba dan tali yang panjang. Tiba-tiba saja hati Pak Selamat rasa tersentap kerana selipar Mak Minah ada di tepi perigi.

'Ooh, Minah darling ku jangan-jangan jatuh kedalam perigi. Itulah sebabnya dunia terasa sunyi'. Terlintas di fikiran Pak Selamat.

Pak Selamat menghulur timba kedalam perigi dengan harapan Mak Minah akan memegangnya dan dapatlah Pak Selamat menariknya ke atas.

Terasa timba itu tiba-tiba saja dipegang olih sesuatu. Tanpa berlengah lagi Pak Selamat menarik timba itu keatas. Pak Selamat terkejut kerana yang naik bukannya Mak Minah tetapi suatu Lembaga.

Lembaga itu bersuara ' Terima kasih banyak-banyak kerana membawa aku naik dari perigi. Telah lama aku tinggal disini tapi tadi ada seorang wanita tua datang dan tak berhenti berleter. Aku tak bolih tahan. Sekarang barulah rasa aman'. Lembaga itu memperkenalkan dirinya sebagai Hantu Perigi sebelum ianya berlalu pergi.

Pak Selamat memanggil orang kampung untuk datang membantu mengeluarkan Mak Minah dari dalam perigi. Namun segalanya sudah terlambat kerana Mak Minah telahpun kembali menyahut seruan Illahi. Memang akhir-akhir ini Pak Selamat perasan yang Mak Minah selalu mengadu sakit kepala. Katanya darah tinggi.

Moral dari cerita ini ialah orang yang kuat berleter bukan manusia saja yang takut, binatang dan hantu juga takut.




Ini hanyalah suatu cerita sekadar untuk dikongsi bersama. Terima kasih kerana sudi hadir di blog saya, 'Hidup, Cinta dan Airmata'.

Wednesday, April 6, 2011

Inai di jari

Selepas tamat alam persekolahan aku bergiat cergas dalam Persatuan Belia dan Pertubuhan Sukarela.

Dalam diam-diam tidak ku sangka rupanya ada orang yang menaruh hati kepada ku. Ini bermula dari usikan  kawan-kawan. Syed dah ada Aminah, Salleh dah punya Fatehah, Zaini dah punya Ana. Aku dan Sally saja yang belum berpunya.

Suatu hari Sally bersuara kepada ku. 'Sal malu orang kata kita nii ada menjalin hubungan cinta sedangkan kita tidak ada apa-apa'. Aku terdiam seketika sambil merenung matanya. 'Habis apa pendapat Sal mengenai perkara ini'. Kata ku.

'Kalau orang dah kata, bagi Sal apa salahnya agar itulah yang sebenarnya'. Sally merenung ku dengan seribu harapan.
Syed, Salleh dan Zaini bersama mak wa masing-masing tiba-tiba saja muncul.

'Ini mesti ada cerita baik nii. Nampak serius sahaja'. Syed menyapa.
'Tak ada apalah'. Sally menjawab malu. Aku hanya diam sahaja sambil melemparkan senyuman.

'Kita pergi tengok wayang nak tak'. Salleh memberikan cadangan sebab aktiviti belia pada petang itu telah dibatalkan kerana balai raya digunakan olih Pertubuhan Wanita (WI) untuk kelas memasak.

Kemudian Rusli dan Ridzuan, abang Sally turut serta bersama kami.

'Wan, Li marilah ikut kami pergi tengok wayang'. Zaini mengajak.

'Cerita apa?'. Tanya Rusli.

'Tum Se Accha Ko Nahi'. Jawab Salleh.

'Marilah abang'. Kata Sally kepada abang-abangnya.

'Tak apalah kalau kamu nak pergi. Pergilah. Abang kalau cerita Cowboy hendaklah'. Kata Rusli.

'Abang pula kalau cerita P Ramlee bulihlah'. Kata Ridzuan pula.

'Tidak apalah, nanti kami beritahu emak'. Kata Rusli lagi kepada Sally. Ayah mereka sudah 2 tahun pergi menyahut seruan Illahi.

Aku pada mulanya enggan turut serta namun setelah dipujuk olih Syed dan Salleh terpaksa saja menurut. Tambah-tambah lagi bila Sally berkata dia juga tidak akan turut sama jika aku menarik diri.

Mulai hari itu perasaan cinta ku kepada Sally mula berputik. Tambah-tambah lagi setelah mendapat restu dari kedua-dua abang Sally dan ibunya. Namun begitu rupanya kakak ku sudah mengetahui cerita ku ini dan seterusnya sampai ke pengetahuan ibu ku.

Suatu hari ibu saudara ku dari Selangor bersama anak gadisnya, Effa datang dan tinggal di rumah ku selama dua hari.

'Hari ini kamu jangan kemana-mana. Ada hal yang emak dan mak cik kamu nak perkatakan'. Bersuara Ibu ku memberi arahan.

Aku diam sahaja. Namun di benak kepala timbul tanda tanya.

Ibu ku memulakan cakapnya. 'Kami adik beradik dah sebulat suara bersetuju dengan janji kami dahulu'.

'Janji apa mak, mak cik'. Tanya ku.

'Kamu dan Effa telah kami tunangkan sejak kecil lagi walaupun belum ada majlis pertunangan resmi diadakan. Harap kamu bersetuju'. Jelas Ibu ku.

'Ayah, Pak Cik dan Effa sendiri bagaimana'. Tanya ku lagi.

'Semuanya dah bersetuju, cuma persetujuan kamu saja lagi yang diperlukan'. Bersuara Mak Cik ku pula.

Effa muncul bersama kakak ku dari dapur membawa air minuman dan goreng pisang. 'Jemput minum'. Kata Effa dengan senyuman yang teramatlah manisnya. Aduuh, Effa memang ayu, cantik. Bisik hati ku.

Kini aku jadi serba salah. Fikiran ku buntu.

Ku pilih Sally masakan ibu dan keluarga ku bersetuju. Ku pilih Effa pastinya hati Sally dan keluarganya terluka.

Dengan Effa meskipun belum ada ikatan resmi tetapi perjanjian antara dua saudara telahpun termeteri. Sesungguhnya aku jadi serba salah. Sebolihnya aku mahu agar tidak ada hati yang terguris luka.

Effa dan ibunya telah berangkat kembali ke Selangor.

Pada minggu yang berikutnya aku menerima sepucuk surat bertanda 'Urusan Seri Paduka Baginda'. Setelah ku buka hati ku bersorak gembira kerana telah berjaya di dalam temuduga kekosongan jawatan yang ku hadiri tempohari.

Pada hari Isnin minggu yang berikutnya aku dikehendaki melapurkan diri di Kuala Lumpur dan perlu berkursus selama dua minggu.

Biarpun berat rasa hati ibu melepaskan aku pergi. Ahli keluarga yang lain semuanya turut sama gembira dengan kejayaan ku ini.

Sebelum berangkat pergi ibu berpesan kepada ku. 'Ingat kamu dah bertunang, jangan lagi cari yang lain'. Aku hanya mampu mengangguk.

Aku sempat bertemu Sally dan keluarganya. Sally mengalirkan air matanya dengan suara yang tersekat-sekat dia meluahkan rasa kecewanya. Rupanya cerita aku dah bertunang dengan Effa telah sampai kepengetahuannya. Dari mana berita ini di perolehi aku sendiri tidak pasti.

Setelah dua minggu berkursus di Kuala Lumpur akhirnya aku ditempatkan untuk bertugas di Terengganu.

Enam bulan telah berlalu. Hati ku kian sepi. Effa hanya beberapa kali sahaja mengutus surat kepada ku. Namun isi suratnya biasa sahaja. Apakah cintanya pada ku hanyalah cinta yang terpaksa. Sungguh aku tidak mengerti. 

Pada hari Khamis tanggal 22 September bertepatan dengan tarikh ulang tahun kelahiran ku, ku terima surat dari Effa bersama kad jemputan perkahwinan. Menggeletar tangan ku bila nama pengantin yang tertera 
tidak lain dan tidak bukan adalah Effa sendiri. Yang pastinya kini tinggalah aku menggigit jari.

Besoknya pula ku terima surat dari Rusli, sahabat ku di kampung. Bersamanya juga terdapat sekeping surat jemputan perkahwinan. Perkahwinan Sally dengan Yusuf. 

Tarikh perkahwian Effa dan Sally (yang pernah bertahta dihati ku) ialah pada 1 Oktober manakala aku sendiri telah memohon cuti malah telahpun diluluskan mulai 14 Oktober selama 10 hari.

Malam itu aku menung di jendela. Ku renung bulan di langit. Aduhai bulan kau dapat menerangi malam gelita, tapi kau tak dapat menerangi hati ku yang kegelapan.

Ku pasang radio cuba menghiburkan hati, namun lagu ini pula yang berkumandang ke udara. Inai di jari alunan suara S Jibeng. Menambahkan lagi duka, menjeruk rasa.



 
Kerana rindu pada ayahibu dan sanak keluarga aku pulang ke kampong sebagaimana jadual cuti ku. Aku ingin penjelasan ibu bagi merungkai permasalahan yang kini membelenggu.

Di kampong aku diperkenalkan olih Syed dengan Yusuf, suami Sally. Ternyata Yusuf seorang yang sangat baik dan peramah. Yusuf mengajak aku dan Syed kerumahnya. 'Jomlah'. Kata Syed sambil memegang tangan ku.
 
Yusuf masuk ke dapur. Aku terus berbual dengan Syed. Selang beberapa ketika Yusuf dan Sally keluar membawa sedulang air minuman dan kueh. 

Air di dulang yang dibawa olih Sally bergegar sebaik sahaja dia terpandang wajah ku. Ternyata dia gugup dan tergamam seketika. Aku jadi serba salah. Kemudian baru Sally bersuara. ' Bila balik'.

'Semalam'. Jawab ku. Yusuf terpaku memandang aku dan Sally silih berganti. Syed diam sahaja kerana dia lebih mengerti.

Anak saudara ku, Nizam datang kerumah Yusuf mencari aku kerana katanya ada saudara dari Selangor datang kerumah ku.

Aku mohon diri dan bersalaman dengan Yusuf dan Syed. 'Maafkan aku andai ada salah dan silap'. Ujar ku kepada Yusuf. Kepada Syed dengan nada perlahan perkataan 'tolong' terkeluar dari mulut ku.

Di halaman rumah ku ada sebuah kereta. Aku naik kerumah. Memberi salam dan bersalaman dengan mereka.

Tersirap jantung ku bila terpandang wajah Effa, Mak Cik ku dan seorang jejaka tampan. Effa memperkenalkan kepada ku. 'Ini suami Effa, Munir'.

Aku ucapkan tahniah dan Selamat Pangantin Baru kepada Effa dan suaminya. Mak Cik dan ibu ku diam dan menundukkan kepala. Air mata bergenang di kelopak mata mereka.

Hati ku bertambah sayu bila terpandangkan inai di jari Effa dan masih jelas terbayang inai di jari Sally.

Uuuh, harus kemanakah kan ku bawa hati ini.

Sebelum Effa, suaminya dan mak cik ku berangkat pergi sempat mak cik ku berkata kepada ku 'Mak Cik banyak minta maaf dunia akhirat atas segala salah dan silap. Kalau ada masa datanglah kerumah mak cik'

Malam itu ku utarakan apa yang terbuku di hati kepada ibu. Ayah ku diam sahaja. Kakak hanya mampu menundukkan kepalanya. Dari ibu kononnya beginilah ceritanya.

Mak Cik ku (ibu Effa) telah di madu. Sejak itu ayah Effa jarang balik kerumah. Asyik di rumah isteri mudanya sahaja. Sebagai seorang kakak, ibu ku telah menasihatkan adik iparnya (ayah Effa) tetapi mungkin nasihat itu lebih bersifat marah ayah Effa terasa hati. Seterusnya atas kapasitinya sebagai Wali dia tidak mahu mewalikan anaknya (Effa) sekiranya berkahwin dengan ku.

Munir (suami Effa) pula dari kalangan keluarga berada telah masuk meminang Effa secara resmi. Effa pula tidak membantah. Dibandingkan antara aku dengan Munir memanglah 'Siapakah diri ku ini'.

Aku mengambil keputusan untuk balik ke Terengganu lebih awal meskipun aku baru 5 hari berada di kampung. Akan ku buka lembaran baru dalam hidup ku. Segala yang berlaku ini pasti ada hikmah dari Allah Subhanahuwataala.

Sesungguhnya kita hanya akan tahu 3 perkara bila ianya tiba iaitu Rezeki, Maut dan Jodoh.

Biarpun kini aku sudah menemui jodoh, namun kesah inai di jari masih segar di dalam ingatan.


Thursday, March 24, 2011

Terbang Bersama

Aku dan Jamal ke stesyen keretapi menghantar rakan serumah balik kekampung di utara tanahair. Katanya balik terus dan tak datang lagi kerana mengambilalih tugas bapanya sebagai seorang Petani  yang telah  kembali kerahmatullah baru-baru ini. 

Ketika keluar dari stesyen kami bersua dengan seorang gadis ayu berbaju kurung. Katanya sedang menunggu kakaknya yang menaiki keretapi dari selatan. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Tina dan tinggal bersama kakaknya di sebuah apartment.

Jamal, rakan ku memanglah seorang jejaka kacak dan tampan, ramah dan pandai mengungkap tutur kata. Banyaklah bualnya. Aku tidak banyak bercerita melainkan bertanya Tina kalau ada rumah kosong berhampiran tempat tinggalnya kerana kami berhasrat untuk tinggal di tempat yang tidak berapa jauh dari pejabat kami bertugas.

Tina dan Jamal bertukar-tukar nombor telefon. Aku tersenyum sahaja melihat gelagat mereka.

Hari Sabtu yang berikutnya Jamal sudah membuat temujanji dengan Tina. Kerana ada hal lain yang agak penting Jamal terpaksa balik kekampung. Sebagai ganti aku diminta berjumpa dengan Tina.

Aku dan Tina bertemu di sebuah pasaraya sebagaimana dijadualkan.

Di dalam pertemuan itu Tina memberitahu ku bahawa dia masih menuntut di sebuah Kolej dan tinggal bersama kakaknya yang bertugas sebagai Pramugari. Kebetulan Apartment bersebelahan tempat tinggal mereka kosong, jadi amat sesuailah kalau aku dan Jamal menyewa di situ.

Sambil makan dan minum di sebuah restoran kami terus berbual.

'Apa kata kalau kita pergi menonton wayang'. Tina memberikan cadangan. 'Selepas menonton bolehlah ikut Tina pergi melihat apartment tersebut'. Tambah Tina lagi.

'Adakah kunci apartment tu'. Aku mengemukakan soalan. 'Ada'. Jawab Tina kerana kebetulan tuan punya apartment tersebut keluar negara. Menurutnya lagi.

Namun hati ku tergerak rasa sangsi kerana di dalam berkawan aku perlu berhati-hati. Apa tah lagi aku belum kenal siapa Tina yang sebenarnya. Malah belum tahu hati budinya.

'Tidak perlulah kita pergi menonton wayang'. Aku bersuara kepada Tina. 

'Kenapa, kan besok hari minggu'. Tina bertanya kepada ku.

'Besok aku kena kerja overtime. Lagi pun aku tidak punya kenderaan sendiri untuk pulang lewat malam'. Jawab ku.
'Teksi kan ada. Apa perlu risau'. Tina meyakinkan aku.

'Tidak apalah Tina, aku pun rasa kurang sihat. Aku balik sajalah. Lain kali sajalah aku pergi melihat apartment tersebut kerana sebaiknya biarlah Jamal ada bersama'. Aku mengemukakan cadangan balas.

Tina diam sahaja. Agaknya kecewa dengan cadangan ku dan minta izin ke toilet. Kerana Tina masih belum muncul aku bangun dan pergi ke kaunter bayaran untuk menjelaskan bil.

'Sudah bayar Encik'. Kata Cashier yang bertugas.

Aku kembali ke meja. Malulah aku sebagai lelaki kerana Tina yang telah membayar bil. Lagipun aku dah bekerja. Tina masih belajar.

'Kenapa Tina bayar bil'. Aku bersuara ketika Tina kembali bersama ku.

'Eleh ini perkara kecil sahaja. Jangan risau. Bapa Tina banyak berikan wang untuk Tina. Kakak pun selalu menghulurkan wang kepada Tina. Maklumlah kami hanya berdua beradik sahaja'. Tina memberikan penjelasan panjang lebar.

Aku pulang kerumah. Sunyi kerana Jamal yang selalu berceloteh tiada. Selepas mandi dan sembahyang aku cuba melelapkan mata. Agak susah juga namun kerana keletihan akhirnya aku tertidur jua. Jam tiga pagi aku terjaga. Ku cuba pejamkan mata tapi tak berupaya. Macam-macam terfikir di benak kepala. Tina ooh Tina.

Ku ambil air sembahyang. Kepada Allah aku berserah dan memohon pertolongan.

Besoknya lewat petang Jamal pulang dan ku ceritakan segalanya.

'Kalau aku jadi engkau, aku dah pergi tengok apartment tuu. Cepat sikit kita boleh pindah'. Kata Jamal.

'Sabarlah Mal. Kita kena pastikan'. Aku bersuara.
Jamal selalu tiada di pejabat kerana tugasnya banyak di luar. Setiap kali Tina menalefonnya pastilah aku yang kena jawab.

'Apartment kosong hari tu masih adakah lagi'. Aku bertanya kepada Tina melalui perbualan di dalam telefon'.

'Itulah you all lambat sangat nak buat keputusan. Orang lain dah masuk sewa'. Jawab Tina.

'Habis macam mana nii'. Spontan aku berkata kepada Tina.

'Petang nanti you balik kerja datanglah jumpa Tina di pasaraya tempat hari tuu'. Jawab Tina.

Aku mengajak Jamal turut serta.

'Aku tak dapat kerana petang nii ada latihan bola. Nanti tersingkir pula aku dari kesebelasan utama. Engkau pergi sajalah, takut apa'. Jawab Jamal membalas ajakan ku.
Di pertemuan itu Tina membuat suatu usul.

'Payah-payah sangat you dengan Jamal tinggal saja dengan Tina kerana kami ada dua bilik Tina dengan kakak, you dengan Jamal'. Terkejut aku mendengar usul yang Tina kemukakan.

'Ooh! Tidak boleh'. Aku protes.

'Kita bukan tidur sebilik. You bilik you, I bilik I'. Kata Tina lagi. Antara lain tambah Tina lagi dia berasa sunyi kerana kakaknya selalu terbang.

'You boleh datang tengok bilik, kemudian baru buat keputusan'. Tina memberikan cadangan.
'Tidak apalah Tina, nanti kami fikirkan'. Jawab ku.

'You ni terlalu banyak berfikirlah'. Bersuara Tina dengan nada kesal.

Ku ceritakan perkara ini kepada Jamal.

'Mal, kalau kita tinggal dengan Tina bermakna kita tinggal serumah. Cuma bilik saja yang lain. Andai di rumah yang tinggal aku dan Tina atau Mal dan Tina orang yang ketiga ialah Syaitan. Apa kata pula kalau kita diserbu oleh Pencegah Maksiat'. Aku memberikan penjelasan meskipun pada ketika itu (era 70an) jarang sangat terdengar berita Pencegah Maksiat membuat serbuan. 

Akhirnya sebulat suara kami membuat keputusan tidak sama sekali menerima cadangan Tina.

Kebetulan rakan sepejabat kami, Atta yang baru berpindah dari Kuantan menyewa apartment yang sama dengan tempat tinggal Tina. Atta tinggal bersama 3 orang rakan sekampungnya yang bertugas di Jabatan Kerajaan.

Aku dan Jamal sepakat meminta Atta tolong intip siapa Tina yang sebenarnya.

'Jadi Spylah pulak aku'. Atta berseluroh dengan kami.

Rupanya apartment sewaan Atta betul-betul bersebelahan dengan apartment Tina. Jadi tugas Atta sebagai Spy kami menjadi lebih mudah. Hasil dari pemerhatian dan penelitian Atta dapatlah dirumuskan sebagaimana berikut:-

Tina yang pernah disapa oleh kawan Atta memperkenalkan dirinya sebagai Lina dengan nama penuhnya sebagai Azlina.

Memang benar Tina tinggal bersama seorang lagi gadis. Nak dikatakan adik beradik, muka mereka tak pula mirip serupa.

Mereka sering dikunjungi seorang lelaki berbadan gempal yang selalu membawa seorang atau dua orang teman lelaki yang berlainan dan berbagai bangsa.

Tina dan kawannya pula sering keluar malam dengan pakaian yang seksi. Baju bertali halus dan menampakkan lurah buah dada.

Kawan Atta yang berkunjung ke Pub terkejut kerana salah seorang pelayan disana adalah Tina. Namun Tina yang ditemui selamba sahaja. Itulah cerita Atta kepada kami.

Tina masih cuba menghubungi kami. Jamal macam biasa selalu tiada di pejabat. Ketika itu pertengahan tahun 70an bukanlah macam sekarang ada Hand Phone yang menjadikan mudah untuk dihubungi.

Kata Atta kepada kami orang macam Tina tuu semestinya ada orang jahat yang menjaganya. Kesan dari kata-kata Atta  menjadikan aku dan Jamal semakin takut. Pastinya akulah kerana aku dah tiga kali bertemu dengan Tina. Sekali bersama Jamal dan dua kali lagi bersendirian. Namun aku bersyukur kerana tidak mengikuti Tina ke apartmentnya.

Kalau aku pergi sendirian ke apartment Tina mungkin aku kan kena perangkap, diugut dan macam-macam lagi tambah Atta yang tiga tahun lebih senior dari ku dari segi kerja dan usia.

Suatu hari aku menerima telefon dari seorang gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Tini iaitu kakak Tina. Tini yang kononnya bertugas sebagai Pramugari meminta aku menghubungi Tina kerana Tina tidak sehat dan ada hal penting. Tini pula pada malam itu akan Fly ke Tokyo. Nasib menyebelahi ku kerana setelah ku buka 'Telephone Directory' ternyata nombor yang diberikan oleh Tini adalah nombor telefon sebuah hotel yang agak terkemuka di ibu kota. Pastinya di Pub hotel inilah Tina dan Tini bekerja. Di akhir perbualan telefonnya Tini menyatakan kepada ku bahawa adiknya Tina juga akan menurut jejak langkahnya sebagai Pramugari selepas tamat pengajiannya di Kolej. Jawaban daripada ku ialah 'Kalau kakak dah terbang adik pun elok sangatlah terbang bersama'.

Tindakan ku selanjutnya adalah meminta tolong daripada Ida (telefonis) di pejabat ku. Katakan aku sudah berhenti kerja dan berpindah ke Johor sekiranya Tina menalifon aku. Dalam kepala ku terfikir jua bahawa Tina hendak kenakan aku kah atau mungkin benar Tina hendak meminta pertolongan lepaskan dirinya dari belenggu lelaki berbadan gempal. Itu hanyalah firasat ku.

Aku kini apabila balik kerja tidak lagi melalui kawasan apartment Tina kerana takut terserempak dengan Tina. Malah lebih takut lagi kalau terserempak dengan lelaki berbadan gempal yang tentunya ada kuncu-kuncunya.

Berikutnya menurut cerita daripada Atta suatu malam apartment Tina diserbu Polis dan Badan Pencegah Maksiat. Tina, Tini, lelaki berbadan gempal dan dan dua orang lagi lelaki telah ditangkap.

Sejak hari itu kelibat Tina, Tini dan lelaki berbadan gempal tidak lagi kelihatan.

'Kalau apartment tuu kosong kamu hendak tinggal di sini tak'. Bertanya SPY Atta kepada ku dan Jamal.

Aku dan Jamal sebulat suara dengan pendirian kami. Biarlah kami tinggal jauh tapi kami rasa aman dan bahagia.

Kini apartment yang pernah dihuni oleh Atta, Tina sudah tidak lagi ujud kerana kepesatan Kuala Lumpur sebagai sebuah Bandaraya. Lebuhraya bertingkat telah dibina. Bila aku lalu di sini teringat aku kepada Tina. Entah apa nasibya. Kalau dia masih hidup tentulah dia hampir sebaya dengan ku sekarang. Tini pula entah bagaimana. Yang pastinya aku masih teringat kata-katanya yang inginkan Tina sepertinya juga untuk 'Terbang Bersama'.

Aku bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala. KepadaNyalah aku berserah dan memohon pertolongan.


Tuesday, March 15, 2011

Awas Peluru Hidup

Ketika itu adalah bulan puasa, akhir tahun 70an.

Kami berempat menaiki sebuah kereta. Kerana hanya aku seorang yang pada waktu itu mempunyai lesen memandu, maka akulah yang akan jadi pemandu pada bila-bila masa dan dimana-mana jua.

Destinasi kami adalah ke Kota Tinggi. Dipecahkan kepada 2 kumpulan. Aku dan Yus. Manakala Mal dan Mail.

'Ini bulan puasa, apa kata malam ini kita tidur saja di JB. Besok kita terus ke tempat kerja dan balik kerja baru 'Check In' di hotel'. Mail memberikan cadangan dengan muka penuh harapan agar kami semua bersetuju.

'Aku setuju' kata Yus. 'Kita kena tanya pemandu'. Mal pula bersuara. Aku senyum dan menganggukkan kepala. 'Ok lah, kalau dah majoriti aku pun ikut saja'. Tambah Mal lagi.

Sebenarnya kami tahu dan dapat mengagak bahawa Mail nak jumpa Mak Wanya yang bertugas di Hospital JB. 'Kalau hari ini kita memberikan kelapangan kepada orang. InsyaAllah besok kita pula kan diberikan kelapangan oleh Allah'. Itulah ayat yang masih lagi segar dalam ingatan ku yang digunakan oleh Mail menagih simpati kami.

'Sekarang dah jam 12 malam. Kita terus sahur sajalah'. Yus memberikan cadangan. Aku dan Mal bersetuju.
'Tapi Mail belum balik'. Aku bersuara. 'Pandai-pandai dialah'. Kata Yus. 'Mungkin dia bersahur dengan Mak Wanya'. Tambah Mal pula. Lagi pun kami tahu yang Mail ada bawa kunci bilik. Tak perlulah dia nak kejutkan kami sekiranya kami dah tertidur.

Aku, Yus dan Mal awal pagi lagi dah bangun. Mail masih tidur. Malah kami pun tak sedar pukul berapa dia balik. Tiba-tiba Mail bingkas bangun dan bersuara. 'Awat tak gerak aku. Aku belum makan soq'. Loghat Penangnya masih tak lekang. 'Nak sahur apa...... sekarang dah jam 6.30 pagi'. Kata Yus sambil tersenyum sinis. 'Aku lapaq...... roti semalam ada lagi'. Mail bersuara lagi. 

Selepas 'Check Out' kami bergerak menghala ke Kota Tinggi. Kami bertiga berbual-bual. Mail diam saja.
Tiba-tiba di suatu ketika Mail bersuara. 'Tolong, tolong berhenti, aku dah dah tak tahan...... sakit perut'.

Berhenti saja kereta, Mail terus keluar dan berlari kearah hutan berhampiran. Pantasnya dia berlari. Mungkin lebih pantas dari Rabuan Pit (Pelari pecut Era 70'an). 

'Itu dah kena kerusi merah, beruang merahlah tuu'. Kata ku. 'Apa dia'. Yus kurang faham dan bertanya kepada ku. 'Chair Red, Bear Red' jelas ku. 'Cirit biritlah tuu'. Bersuara Mal, menerangkan dengan lebih jelas. 'Yang pegi makan roti dengan sambal tuu siapa suruh'. Tambah Yus lagi. Kami ketawa.

Hampir sepuluh minit Mail kembali ke kereta. 'Apa macam'. Yus bersuara lagi. 'Legalah sikit'.Jawab Mail.

'Nii apa ni, ada bau'. Aku bertanya. 'Kat sana tak ada air, aku beristinja' dengan batu saja' jawab Mail. Yus dan Mal ketawa sambil memicit hidung. 

Selang tak berapa jauh kereta bergerak ternampak kami papan tanda tertulis KAWASAN BAHAYA, AWAS PELURU HIDUP. Rupanya disini adalah 'Pulada' (Pusat Latihan Tentera Darat). 

Cadangan untuk terus ketempat kerja terpaksa dipinda. 'Check In' di hotel dahulu untuk memberikan laluan dan keselesaan kepada Mail. 

Kini anak gadis ku telah menemui jodohnya dengan orang Kota Tinggi. Setiap kali aku pergi menziarahi cucu pastinya melalui kawasan ini. Setiap kali itulah aku pasti teringatkan Mail. Awas Peluru Hidup.