Thursday, March 24, 2011

Terbang Bersama

Aku dan Jamal ke stesyen keretapi menghantar rakan serumah balik kekampung di utara tanahair. Katanya balik terus dan tak datang lagi kerana mengambilalih tugas bapanya sebagai seorang Petani  yang telah  kembali kerahmatullah baru-baru ini. 

Ketika keluar dari stesyen kami bersua dengan seorang gadis ayu berbaju kurung. Katanya sedang menunggu kakaknya yang menaiki keretapi dari selatan. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Tina dan tinggal bersama kakaknya di sebuah apartment.

Jamal, rakan ku memanglah seorang jejaka kacak dan tampan, ramah dan pandai mengungkap tutur kata. Banyaklah bualnya. Aku tidak banyak bercerita melainkan bertanya Tina kalau ada rumah kosong berhampiran tempat tinggalnya kerana kami berhasrat untuk tinggal di tempat yang tidak berapa jauh dari pejabat kami bertugas.

Tina dan Jamal bertukar-tukar nombor telefon. Aku tersenyum sahaja melihat gelagat mereka.

Hari Sabtu yang berikutnya Jamal sudah membuat temujanji dengan Tina. Kerana ada hal lain yang agak penting Jamal terpaksa balik kekampung. Sebagai ganti aku diminta berjumpa dengan Tina.

Aku dan Tina bertemu di sebuah pasaraya sebagaimana dijadualkan.

Di dalam pertemuan itu Tina memberitahu ku bahawa dia masih menuntut di sebuah Kolej dan tinggal bersama kakaknya yang bertugas sebagai Pramugari. Kebetulan Apartment bersebelahan tempat tinggal mereka kosong, jadi amat sesuailah kalau aku dan Jamal menyewa di situ.

Sambil makan dan minum di sebuah restoran kami terus berbual.

'Apa kata kalau kita pergi menonton wayang'. Tina memberikan cadangan. 'Selepas menonton bolehlah ikut Tina pergi melihat apartment tersebut'. Tambah Tina lagi.

'Adakah kunci apartment tu'. Aku mengemukakan soalan. 'Ada'. Jawab Tina kerana kebetulan tuan punya apartment tersebut keluar negara. Menurutnya lagi.

Namun hati ku tergerak rasa sangsi kerana di dalam berkawan aku perlu berhati-hati. Apa tah lagi aku belum kenal siapa Tina yang sebenarnya. Malah belum tahu hati budinya.

'Tidak perlulah kita pergi menonton wayang'. Aku bersuara kepada Tina. 

'Kenapa, kan besok hari minggu'. Tina bertanya kepada ku.

'Besok aku kena kerja overtime. Lagi pun aku tidak punya kenderaan sendiri untuk pulang lewat malam'. Jawab ku.
'Teksi kan ada. Apa perlu risau'. Tina meyakinkan aku.

'Tidak apalah Tina, aku pun rasa kurang sihat. Aku balik sajalah. Lain kali sajalah aku pergi melihat apartment tersebut kerana sebaiknya biarlah Jamal ada bersama'. Aku mengemukakan cadangan balas.

Tina diam sahaja. Agaknya kecewa dengan cadangan ku dan minta izin ke toilet. Kerana Tina masih belum muncul aku bangun dan pergi ke kaunter bayaran untuk menjelaskan bil.

'Sudah bayar Encik'. Kata Cashier yang bertugas.

Aku kembali ke meja. Malulah aku sebagai lelaki kerana Tina yang telah membayar bil. Lagipun aku dah bekerja. Tina masih belajar.

'Kenapa Tina bayar bil'. Aku bersuara ketika Tina kembali bersama ku.

'Eleh ini perkara kecil sahaja. Jangan risau. Bapa Tina banyak berikan wang untuk Tina. Kakak pun selalu menghulurkan wang kepada Tina. Maklumlah kami hanya berdua beradik sahaja'. Tina memberikan penjelasan panjang lebar.

Aku pulang kerumah. Sunyi kerana Jamal yang selalu berceloteh tiada. Selepas mandi dan sembahyang aku cuba melelapkan mata. Agak susah juga namun kerana keletihan akhirnya aku tertidur jua. Jam tiga pagi aku terjaga. Ku cuba pejamkan mata tapi tak berupaya. Macam-macam terfikir di benak kepala. Tina ooh Tina.

Ku ambil air sembahyang. Kepada Allah aku berserah dan memohon pertolongan.

Besoknya lewat petang Jamal pulang dan ku ceritakan segalanya.

'Kalau aku jadi engkau, aku dah pergi tengok apartment tuu. Cepat sikit kita boleh pindah'. Kata Jamal.

'Sabarlah Mal. Kita kena pastikan'. Aku bersuara.
Jamal selalu tiada di pejabat kerana tugasnya banyak di luar. Setiap kali Tina menalefonnya pastilah aku yang kena jawab.

'Apartment kosong hari tu masih adakah lagi'. Aku bertanya kepada Tina melalui perbualan di dalam telefon'.

'Itulah you all lambat sangat nak buat keputusan. Orang lain dah masuk sewa'. Jawab Tina.

'Habis macam mana nii'. Spontan aku berkata kepada Tina.

'Petang nanti you balik kerja datanglah jumpa Tina di pasaraya tempat hari tuu'. Jawab Tina.

Aku mengajak Jamal turut serta.

'Aku tak dapat kerana petang nii ada latihan bola. Nanti tersingkir pula aku dari kesebelasan utama. Engkau pergi sajalah, takut apa'. Jawab Jamal membalas ajakan ku.
Di pertemuan itu Tina membuat suatu usul.

'Payah-payah sangat you dengan Jamal tinggal saja dengan Tina kerana kami ada dua bilik Tina dengan kakak, you dengan Jamal'. Terkejut aku mendengar usul yang Tina kemukakan.

'Ooh! Tidak boleh'. Aku protes.

'Kita bukan tidur sebilik. You bilik you, I bilik I'. Kata Tina lagi. Antara lain tambah Tina lagi dia berasa sunyi kerana kakaknya selalu terbang.

'You boleh datang tengok bilik, kemudian baru buat keputusan'. Tina memberikan cadangan.
'Tidak apalah Tina, nanti kami fikirkan'. Jawab ku.

'You ni terlalu banyak berfikirlah'. Bersuara Tina dengan nada kesal.

Ku ceritakan perkara ini kepada Jamal.

'Mal, kalau kita tinggal dengan Tina bermakna kita tinggal serumah. Cuma bilik saja yang lain. Andai di rumah yang tinggal aku dan Tina atau Mal dan Tina orang yang ketiga ialah Syaitan. Apa kata pula kalau kita diserbu oleh Pencegah Maksiat'. Aku memberikan penjelasan meskipun pada ketika itu (era 70an) jarang sangat terdengar berita Pencegah Maksiat membuat serbuan. 

Akhirnya sebulat suara kami membuat keputusan tidak sama sekali menerima cadangan Tina.

Kebetulan rakan sepejabat kami, Atta yang baru berpindah dari Kuantan menyewa apartment yang sama dengan tempat tinggal Tina. Atta tinggal bersama 3 orang rakan sekampungnya yang bertugas di Jabatan Kerajaan.

Aku dan Jamal sepakat meminta Atta tolong intip siapa Tina yang sebenarnya.

'Jadi Spylah pulak aku'. Atta berseluroh dengan kami.

Rupanya apartment sewaan Atta betul-betul bersebelahan dengan apartment Tina. Jadi tugas Atta sebagai Spy kami menjadi lebih mudah. Hasil dari pemerhatian dan penelitian Atta dapatlah dirumuskan sebagaimana berikut:-

Tina yang pernah disapa oleh kawan Atta memperkenalkan dirinya sebagai Lina dengan nama penuhnya sebagai Azlina.

Memang benar Tina tinggal bersama seorang lagi gadis. Nak dikatakan adik beradik, muka mereka tak pula mirip serupa.

Mereka sering dikunjungi seorang lelaki berbadan gempal yang selalu membawa seorang atau dua orang teman lelaki yang berlainan dan berbagai bangsa.

Tina dan kawannya pula sering keluar malam dengan pakaian yang seksi. Baju bertali halus dan menampakkan lurah buah dada.

Kawan Atta yang berkunjung ke Pub terkejut kerana salah seorang pelayan disana adalah Tina. Namun Tina yang ditemui selamba sahaja. Itulah cerita Atta kepada kami.

Tina masih cuba menghubungi kami. Jamal macam biasa selalu tiada di pejabat. Ketika itu pertengahan tahun 70an bukanlah macam sekarang ada Hand Phone yang menjadikan mudah untuk dihubungi.

Kata Atta kepada kami orang macam Tina tuu semestinya ada orang jahat yang menjaganya. Kesan dari kata-kata Atta  menjadikan aku dan Jamal semakin takut. Pastinya akulah kerana aku dah tiga kali bertemu dengan Tina. Sekali bersama Jamal dan dua kali lagi bersendirian. Namun aku bersyukur kerana tidak mengikuti Tina ke apartmentnya.

Kalau aku pergi sendirian ke apartment Tina mungkin aku kan kena perangkap, diugut dan macam-macam lagi tambah Atta yang tiga tahun lebih senior dari ku dari segi kerja dan usia.

Suatu hari aku menerima telefon dari seorang gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Tini iaitu kakak Tina. Tini yang kononnya bertugas sebagai Pramugari meminta aku menghubungi Tina kerana Tina tidak sehat dan ada hal penting. Tini pula pada malam itu akan Fly ke Tokyo. Nasib menyebelahi ku kerana setelah ku buka 'Telephone Directory' ternyata nombor yang diberikan oleh Tini adalah nombor telefon sebuah hotel yang agak terkemuka di ibu kota. Pastinya di Pub hotel inilah Tina dan Tini bekerja. Di akhir perbualan telefonnya Tini menyatakan kepada ku bahawa adiknya Tina juga akan menurut jejak langkahnya sebagai Pramugari selepas tamat pengajiannya di Kolej. Jawaban daripada ku ialah 'Kalau kakak dah terbang adik pun elok sangatlah terbang bersama'.

Tindakan ku selanjutnya adalah meminta tolong daripada Ida (telefonis) di pejabat ku. Katakan aku sudah berhenti kerja dan berpindah ke Johor sekiranya Tina menalifon aku. Dalam kepala ku terfikir jua bahawa Tina hendak kenakan aku kah atau mungkin benar Tina hendak meminta pertolongan lepaskan dirinya dari belenggu lelaki berbadan gempal. Itu hanyalah firasat ku.

Aku kini apabila balik kerja tidak lagi melalui kawasan apartment Tina kerana takut terserempak dengan Tina. Malah lebih takut lagi kalau terserempak dengan lelaki berbadan gempal yang tentunya ada kuncu-kuncunya.

Berikutnya menurut cerita daripada Atta suatu malam apartment Tina diserbu Polis dan Badan Pencegah Maksiat. Tina, Tini, lelaki berbadan gempal dan dan dua orang lagi lelaki telah ditangkap.

Sejak hari itu kelibat Tina, Tini dan lelaki berbadan gempal tidak lagi kelihatan.

'Kalau apartment tuu kosong kamu hendak tinggal di sini tak'. Bertanya SPY Atta kepada ku dan Jamal.

Aku dan Jamal sebulat suara dengan pendirian kami. Biarlah kami tinggal jauh tapi kami rasa aman dan bahagia.

Kini apartment yang pernah dihuni oleh Atta, Tina sudah tidak lagi ujud kerana kepesatan Kuala Lumpur sebagai sebuah Bandaraya. Lebuhraya bertingkat telah dibina. Bila aku lalu di sini teringat aku kepada Tina. Entah apa nasibya. Kalau dia masih hidup tentulah dia hampir sebaya dengan ku sekarang. Tini pula entah bagaimana. Yang pastinya aku masih teringat kata-katanya yang inginkan Tina sepertinya juga untuk 'Terbang Bersama'.

Aku bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala. KepadaNyalah aku berserah dan memohon pertolongan.


2 comments:

  1. nice entry...tak penah pun citer kt kitorg sblm ni?

    ReplyDelete
  2. Tunggu kamu orang semua dah besar dan mengerti suka duka, manis pahit dan tangis tawa di dalam meniti ranjau kehidupan. Terima kasih kerana sudi hadir bersama seketika di sini di Blog 'Hidup, cinta dan airmata,.

    ReplyDelete