Wednesday, March 27, 2013

'NINA'

Jalan berbukit dihiasi air terjun dan pepohonan menghijau mewujudkan panorama yang cukup indah. Inilah jalan yang sering aku lalui.

Disuatu selekoh adakalanya sering kelihatan monyet bersantai menunggu belas ihsan daripada manusia yang sudi menghulurkan sedikit makanan. Mungkin persekitaran hutan ini sudah tidak cukup makanan untuk menyara mereka atau mungkin kerana adanya insan yang bermurah hati menjadikan gerombolan monyet-monyet ini berada di sini. Hati ku berbisik sendirian.

Hari itu aku bersama isteri melewati kawasan ini namun tiada pula monyet-monyet yang kelihatan. Mungkin kerana hari semakin meninggi dan panas mentari telah memancar kebumi.

Tiba-tiba isteri ku spontan bersuara. 'Eeh abang berhenti bang ada monyet dan anaknya terbaring di tepi jalan. Setelah ku amati ku lihat seekor monyet terdampar mati. Ada kesan dilanggar kenderaan.. manakala anak kecilnya yang masih hidup melekap disusu ibunya.

Hati ku terlalu hiba. Isteri ku mengalir airmata. Anak monyet dan ibunya ku angkat masuk ke kereta dan ku bawa pulang kerumah.

Setelah  ibu monyet selamat ku semadikan, anaknya pula disediakan botol susu dan puting olih isteri ku agar ia dapat terus menyambung hidup.


Hari demi hari, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, 'Nina'anak monyet betina yang ku bela sudah cukup dewasa. Terlalu manja menjadi kesayangan aku sekeluarga.



Namun kini isteri ku cukup perasan perangai 'Nina' semakin pelik. 'Nina' amat suka berada disampingku dan akan menjauhkan dirinya daripada isteriku. Nina akan menarik tangan ku, kaki ku atau memegang kepala ku. Ada saja yang akan diusiknya. Namun peristiwa yang berlaku petang tadi kebetulan dihadapan isteri ku membuatkan kemarahan isteri ku sampai ke kemuncaknya. Malah aku sendiri cukup terperanjat dengan sikap 'Nina' yang telah menarik kain pelikat ku hingga tertanggal. Mujur di ketika itu aku memakai seluar 'boxer'.

'Abang, esok pagi-pagi kita hantar 'Nina' ketempat kita jumpanya dahulu agar ia dapat kembali berkawan dengan monyet-monyet di situ. Kalau dah monyet tetap juga monyet'. Isteri ku melahirkan perasaan marahnya. Kasih sayangnya kepada 'Nina' sudah sampai ke penghujungnya.

'Oklah'. Jawapan daripada aku. Aku faham masanya sudah tiba untuk 'Nina kembali ke habitatnya.

Besoknya berbekalkan sedikit makanan aku dan isteri ku meninggalkan 'Nina' ditempat tersebut. Melalui cermin kereta aku dapat melihat ada monyet lain yang menghampiri 'Nina'. Isteri ku langsung tidak menolih ke arah 'Nina'. 

Tiga hari berselang aku dan isteri ku melewati tempat ini ketika pulang dari Kuala Lumpur. Atas permintaan isteri ku aku berhentikan kereta betul-betul ditempat 'Nina' kami tinggalkan. Ternyata naluri isteri ku sebagai seorang ibu meskipun benci tapi masih tetap rindu. Aku dan isteri ku keluar dari kereta dan meninjau-ninjau persekitaran. 

Tiba-tiba sahaja seekor monyet berlari kearah isteri ku. Tangannya memeluk leher isteri ku sambil menangis teresak-esak. Kerana tak sampai rasa hati kini 'Nina' kami bawa kembali ke rumah.

Di rumah 'Nina' lebih banyak mendiamkan diri. Sikapnya jua jelas berubah. Tidak lagi seperti dahulu yang sering sahaja mengusik aku.

Petang itu aku berbual dengan Hj. Kassim jiran ku yang sering sahaja bercerita dengan ku mengenai monyet dan sebagainya. Menurut kata Hj. Kassim monyet yang telah tinggal dengan manusia akan ada bau manusia pada dirinya. Ini menjadikan monyet-monyet lain tidak lagi dapat menerima kehadirannya.

Inilah hakikat sebenar yang terjadi kepada 'Nina'. Biarlah 'Nina' menjadi sebahagian daripada keluarga kami sehingga akhir hayatnya.