Thursday, September 6, 2012

BEBAN TAK TERTANGGUNG

Selepas berpindah kerumah baru, jarak aku ketempat kuliah menjadi semakin jauh. Kalau dahulu baru 20 km kini sudah menjadi lebih 40 km.

Aku terpaksa menempuh jalan yang berliku, berbukit dan melalui kawasan yang tidak berpenghuni. Namun kerana inilah jalan yang terdekat dan menjadi jalan pintas tidak hairanlah jika masih terdapat kenderaan yang melewati jalan ini meskipun pada larut malam.

Pada awal berpindah kesini aku bernasib baik kerana ada seorang teman sekuliah yang tinggal di sini dan kami sering bergilir kereta. Namun kini aku perlu bersendirian kerana teman ku ini telahpun berpindah ke Putrajaya.

Pernah suatu ketika aku hampir terbabas kerana jalan berliku pada pandangan ku nampak lurus. Mujur aku cepat tersadar kerana kenderaan di belakang ku membunyikan hon sambil menyalakan lampu tinggi malah nasib ku agak baik kerana aku juga memandu tidak laju.

Kini fikiran ku berbelah bagi. Meneruskan saja kuliah atau berhenti sahaja setakat ini kerana isteri ku sering sahaja melahirkan rasa bimbangnya. Aku masih teringat kata-kata sahabat ku yang juga teman sekuliah yang kini menetap di Bukit Belachan. Katanya "Kalau kita pergi belajar bagi mendapatkan ilmu, tambah-tambah lagi ilmu yang bolih mendekatkan diri kita dengan Allah sendainya kita kembali kerahmatullah diketika perjalanan pergibalik maka kita bolih dikategorikan sebagai Syahid'. Ya syahid mempunyai berbagai peringkat. Hati ku berbisik sendirian.

Pada suatu malam setelah tamat kuliah, Pensyarah mengadakan pula muzakarah mengenai beberapa topik semasa yang amat menarik untuk diperbincangkan. Tanpa disedari jam 11.30 malam baru perbincangan berhenti. Aku bergegas ke kereta. Isteri ku di rumah pasti bimbang kerana kebiasaanya waktu sebegini aku sudah sampai kerumah.

Aku memandu agak laju. Menyusuri liku-liku dan jalan berbukit. Tiada pula kereta lain yang melewati jalan ini yang bolih di ikut sebagai teman. Sampai di suatu tempat yang menjadi sumber bekalan air gunung yang mengalir airnya berterusan, hati ku berasa lega kerana sampai di sini bermakna aku sudah melewati lebih setengah perjalanan. Namun ku lihat ramai pula orang di sini seolah-olah ada pasar malam. Begitu meriah sekali. Aku teruskan saja perjalanan.

Di hadapan jalan mulai menurun. Biasanya tanpa menekan minyak kelajuan bolih mencecah 100 km sejam. Meskipun begitu aku pelik kerana MPV ku terasa berat dan tak mampu bergerak laju. Ku lihat ada sebuah kereta yang datang dari hadapan juga bergerak perlahan kerana sedang mendaki bukit. Kereta ini mengelip-ngelipkan lampunya kepada ku. aku juga membalasnya kerana mungkin pemandu kereta tersebut mengenali aku.

Kini aku terasa kereta ku semakin luarbiasa. Masakan enjin 2.0 tak mampu bergerak laju, malah seolah-olah sedang membawa beban yang amat berat. Ku perhatikan pada ruang penumpang melalui cermin kereta. Tak ada sesiapa pun. Memang aku bersendirian. Kumat kamit mulut ku membaca ayat-ayat Quran kerana sesungguhnya hanya Allah sahaja tempat kita berserah dan memohon pertolongan.  

Akhirnya aku sampai kerumah. Ku buka pintu pagar. Namun .................ketika aku menolih kembali ke kereta ku, ku lihat ramainya penumpang berada di atas bumbung kereta. Pandangan ku tidaklah begitu jelas kerana diketika itu aku hanyalah bertemankan cahaya bulan yang hampir diselaputi awan.

Mujur aku tidak panik. Ku pejamkan mata, ku bacakan ayat-ayat Quran dan ku hembuskan kearah mereka. Bila ku bukakan kembali mata tiada sesiapa pun lagi yang berada di sana.

Hari minggu yang berikutnya kawan ku menelefon ku nak berjumpa. Macam biasa tentulah Awi nak ajak aku pergi memancing. Tekaan ku bermain di kepala.

'Eh, kalau tak silap aku malam jumaat lepas aku ada berselisih kereta kamu dekat tempat air gunung sana'. Awi memulakan percakapannya.

'Jadi kamulah yang kelip-kelip lampu kat aku'. Balas ku.

'Tapi aku pelik, mungkin mata aku saja yang melihat begitu'. Tambah Awi lagi.

'Apa dia'. Cepat saja mulutku bertanya.

'Ada ramai orang atas bumbung kereta kamu, tapi pemandangan aku tak berapa jelas'. Awi menjawab dan mengerutkan dahinya.

Aku hanya mampu tersenyum. 'Kali ni kat mana pula kita nak pergi memancing. Carilah port baru'. Balas ku.

Aku akan ceritakan kepada Awi ketika memancing nanti apa yang sebenarnya berlaku.

Namun peristiwa beban tak tertanggung olih MPV ku tetap segar dalam ingatan.

Aku pun kini sudah mengikuti kuliah di tempat baru yang tidak jauh dari rumah ku. Kuliah diadakan pada sebelah siang hujung minggu. Sesungguhnya proses menuntut ilmu tidak akan berakhir sehinggalah ke liang lahad.