Wednesday, April 6, 2011

Inai di jari

Selepas tamat alam persekolahan aku bergiat cergas dalam Persatuan Belia dan Pertubuhan Sukarela.

Dalam diam-diam tidak ku sangka rupanya ada orang yang menaruh hati kepada ku. Ini bermula dari usikan  kawan-kawan. Syed dah ada Aminah, Salleh dah punya Fatehah, Zaini dah punya Ana. Aku dan Sally saja yang belum berpunya.

Suatu hari Sally bersuara kepada ku. 'Sal malu orang kata kita nii ada menjalin hubungan cinta sedangkan kita tidak ada apa-apa'. Aku terdiam seketika sambil merenung matanya. 'Habis apa pendapat Sal mengenai perkara ini'. Kata ku.

'Kalau orang dah kata, bagi Sal apa salahnya agar itulah yang sebenarnya'. Sally merenung ku dengan seribu harapan.
Syed, Salleh dan Zaini bersama mak wa masing-masing tiba-tiba saja muncul.

'Ini mesti ada cerita baik nii. Nampak serius sahaja'. Syed menyapa.
'Tak ada apalah'. Sally menjawab malu. Aku hanya diam sahaja sambil melemparkan senyuman.

'Kita pergi tengok wayang nak tak'. Salleh memberikan cadangan sebab aktiviti belia pada petang itu telah dibatalkan kerana balai raya digunakan olih Pertubuhan Wanita (WI) untuk kelas memasak.

Kemudian Rusli dan Ridzuan, abang Sally turut serta bersama kami.

'Wan, Li marilah ikut kami pergi tengok wayang'. Zaini mengajak.

'Cerita apa?'. Tanya Rusli.

'Tum Se Accha Ko Nahi'. Jawab Salleh.

'Marilah abang'. Kata Sally kepada abang-abangnya.

'Tak apalah kalau kamu nak pergi. Pergilah. Abang kalau cerita Cowboy hendaklah'. Kata Rusli.

'Abang pula kalau cerita P Ramlee bulihlah'. Kata Ridzuan pula.

'Tidak apalah, nanti kami beritahu emak'. Kata Rusli lagi kepada Sally. Ayah mereka sudah 2 tahun pergi menyahut seruan Illahi.

Aku pada mulanya enggan turut serta namun setelah dipujuk olih Syed dan Salleh terpaksa saja menurut. Tambah-tambah lagi bila Sally berkata dia juga tidak akan turut sama jika aku menarik diri.

Mulai hari itu perasaan cinta ku kepada Sally mula berputik. Tambah-tambah lagi setelah mendapat restu dari kedua-dua abang Sally dan ibunya. Namun begitu rupanya kakak ku sudah mengetahui cerita ku ini dan seterusnya sampai ke pengetahuan ibu ku.

Suatu hari ibu saudara ku dari Selangor bersama anak gadisnya, Effa datang dan tinggal di rumah ku selama dua hari.

'Hari ini kamu jangan kemana-mana. Ada hal yang emak dan mak cik kamu nak perkatakan'. Bersuara Ibu ku memberi arahan.

Aku diam sahaja. Namun di benak kepala timbul tanda tanya.

Ibu ku memulakan cakapnya. 'Kami adik beradik dah sebulat suara bersetuju dengan janji kami dahulu'.

'Janji apa mak, mak cik'. Tanya ku.

'Kamu dan Effa telah kami tunangkan sejak kecil lagi walaupun belum ada majlis pertunangan resmi diadakan. Harap kamu bersetuju'. Jelas Ibu ku.

'Ayah, Pak Cik dan Effa sendiri bagaimana'. Tanya ku lagi.

'Semuanya dah bersetuju, cuma persetujuan kamu saja lagi yang diperlukan'. Bersuara Mak Cik ku pula.

Effa muncul bersama kakak ku dari dapur membawa air minuman dan goreng pisang. 'Jemput minum'. Kata Effa dengan senyuman yang teramatlah manisnya. Aduuh, Effa memang ayu, cantik. Bisik hati ku.

Kini aku jadi serba salah. Fikiran ku buntu.

Ku pilih Sally masakan ibu dan keluarga ku bersetuju. Ku pilih Effa pastinya hati Sally dan keluarganya terluka.

Dengan Effa meskipun belum ada ikatan resmi tetapi perjanjian antara dua saudara telahpun termeteri. Sesungguhnya aku jadi serba salah. Sebolihnya aku mahu agar tidak ada hati yang terguris luka.

Effa dan ibunya telah berangkat kembali ke Selangor.

Pada minggu yang berikutnya aku menerima sepucuk surat bertanda 'Urusan Seri Paduka Baginda'. Setelah ku buka hati ku bersorak gembira kerana telah berjaya di dalam temuduga kekosongan jawatan yang ku hadiri tempohari.

Pada hari Isnin minggu yang berikutnya aku dikehendaki melapurkan diri di Kuala Lumpur dan perlu berkursus selama dua minggu.

Biarpun berat rasa hati ibu melepaskan aku pergi. Ahli keluarga yang lain semuanya turut sama gembira dengan kejayaan ku ini.

Sebelum berangkat pergi ibu berpesan kepada ku. 'Ingat kamu dah bertunang, jangan lagi cari yang lain'. Aku hanya mampu mengangguk.

Aku sempat bertemu Sally dan keluarganya. Sally mengalirkan air matanya dengan suara yang tersekat-sekat dia meluahkan rasa kecewanya. Rupanya cerita aku dah bertunang dengan Effa telah sampai kepengetahuannya. Dari mana berita ini di perolehi aku sendiri tidak pasti.

Setelah dua minggu berkursus di Kuala Lumpur akhirnya aku ditempatkan untuk bertugas di Terengganu.

Enam bulan telah berlalu. Hati ku kian sepi. Effa hanya beberapa kali sahaja mengutus surat kepada ku. Namun isi suratnya biasa sahaja. Apakah cintanya pada ku hanyalah cinta yang terpaksa. Sungguh aku tidak mengerti. 

Pada hari Khamis tanggal 22 September bertepatan dengan tarikh ulang tahun kelahiran ku, ku terima surat dari Effa bersama kad jemputan perkahwinan. Menggeletar tangan ku bila nama pengantin yang tertera 
tidak lain dan tidak bukan adalah Effa sendiri. Yang pastinya kini tinggalah aku menggigit jari.

Besoknya pula ku terima surat dari Rusli, sahabat ku di kampung. Bersamanya juga terdapat sekeping surat jemputan perkahwinan. Perkahwinan Sally dengan Yusuf. 

Tarikh perkahwian Effa dan Sally (yang pernah bertahta dihati ku) ialah pada 1 Oktober manakala aku sendiri telah memohon cuti malah telahpun diluluskan mulai 14 Oktober selama 10 hari.

Malam itu aku menung di jendela. Ku renung bulan di langit. Aduhai bulan kau dapat menerangi malam gelita, tapi kau tak dapat menerangi hati ku yang kegelapan.

Ku pasang radio cuba menghiburkan hati, namun lagu ini pula yang berkumandang ke udara. Inai di jari alunan suara S Jibeng. Menambahkan lagi duka, menjeruk rasa.



 
Kerana rindu pada ayahibu dan sanak keluarga aku pulang ke kampong sebagaimana jadual cuti ku. Aku ingin penjelasan ibu bagi merungkai permasalahan yang kini membelenggu.

Di kampong aku diperkenalkan olih Syed dengan Yusuf, suami Sally. Ternyata Yusuf seorang yang sangat baik dan peramah. Yusuf mengajak aku dan Syed kerumahnya. 'Jomlah'. Kata Syed sambil memegang tangan ku.
 
Yusuf masuk ke dapur. Aku terus berbual dengan Syed. Selang beberapa ketika Yusuf dan Sally keluar membawa sedulang air minuman dan kueh. 

Air di dulang yang dibawa olih Sally bergegar sebaik sahaja dia terpandang wajah ku. Ternyata dia gugup dan tergamam seketika. Aku jadi serba salah. Kemudian baru Sally bersuara. ' Bila balik'.

'Semalam'. Jawab ku. Yusuf terpaku memandang aku dan Sally silih berganti. Syed diam sahaja kerana dia lebih mengerti.

Anak saudara ku, Nizam datang kerumah Yusuf mencari aku kerana katanya ada saudara dari Selangor datang kerumah ku.

Aku mohon diri dan bersalaman dengan Yusuf dan Syed. 'Maafkan aku andai ada salah dan silap'. Ujar ku kepada Yusuf. Kepada Syed dengan nada perlahan perkataan 'tolong' terkeluar dari mulut ku.

Di halaman rumah ku ada sebuah kereta. Aku naik kerumah. Memberi salam dan bersalaman dengan mereka.

Tersirap jantung ku bila terpandang wajah Effa, Mak Cik ku dan seorang jejaka tampan. Effa memperkenalkan kepada ku. 'Ini suami Effa, Munir'.

Aku ucapkan tahniah dan Selamat Pangantin Baru kepada Effa dan suaminya. Mak Cik dan ibu ku diam dan menundukkan kepala. Air mata bergenang di kelopak mata mereka.

Hati ku bertambah sayu bila terpandangkan inai di jari Effa dan masih jelas terbayang inai di jari Sally.

Uuuh, harus kemanakah kan ku bawa hati ini.

Sebelum Effa, suaminya dan mak cik ku berangkat pergi sempat mak cik ku berkata kepada ku 'Mak Cik banyak minta maaf dunia akhirat atas segala salah dan silap. Kalau ada masa datanglah kerumah mak cik'

Malam itu ku utarakan apa yang terbuku di hati kepada ibu. Ayah ku diam sahaja. Kakak hanya mampu menundukkan kepalanya. Dari ibu kononnya beginilah ceritanya.

Mak Cik ku (ibu Effa) telah di madu. Sejak itu ayah Effa jarang balik kerumah. Asyik di rumah isteri mudanya sahaja. Sebagai seorang kakak, ibu ku telah menasihatkan adik iparnya (ayah Effa) tetapi mungkin nasihat itu lebih bersifat marah ayah Effa terasa hati. Seterusnya atas kapasitinya sebagai Wali dia tidak mahu mewalikan anaknya (Effa) sekiranya berkahwin dengan ku.

Munir (suami Effa) pula dari kalangan keluarga berada telah masuk meminang Effa secara resmi. Effa pula tidak membantah. Dibandingkan antara aku dengan Munir memanglah 'Siapakah diri ku ini'.

Aku mengambil keputusan untuk balik ke Terengganu lebih awal meskipun aku baru 5 hari berada di kampung. Akan ku buka lembaran baru dalam hidup ku. Segala yang berlaku ini pasti ada hikmah dari Allah Subhanahuwataala.

Sesungguhnya kita hanya akan tahu 3 perkara bila ianya tiba iaitu Rezeki, Maut dan Jodoh.

Biarpun kini aku sudah menemui jodoh, namun kesah inai di jari masih segar di dalam ingatan.


1 comment: