Tuesday, March 15, 2011

Awas Peluru Hidup

Ketika itu adalah bulan puasa, akhir tahun 70an.

Kami berempat menaiki sebuah kereta. Kerana hanya aku seorang yang pada waktu itu mempunyai lesen memandu, maka akulah yang akan jadi pemandu pada bila-bila masa dan dimana-mana jua.

Destinasi kami adalah ke Kota Tinggi. Dipecahkan kepada 2 kumpulan. Aku dan Yus. Manakala Mal dan Mail.

'Ini bulan puasa, apa kata malam ini kita tidur saja di JB. Besok kita terus ke tempat kerja dan balik kerja baru 'Check In' di hotel'. Mail memberikan cadangan dengan muka penuh harapan agar kami semua bersetuju.

'Aku setuju' kata Yus. 'Kita kena tanya pemandu'. Mal pula bersuara. Aku senyum dan menganggukkan kepala. 'Ok lah, kalau dah majoriti aku pun ikut saja'. Tambah Mal lagi.

Sebenarnya kami tahu dan dapat mengagak bahawa Mail nak jumpa Mak Wanya yang bertugas di Hospital JB. 'Kalau hari ini kita memberikan kelapangan kepada orang. InsyaAllah besok kita pula kan diberikan kelapangan oleh Allah'. Itulah ayat yang masih lagi segar dalam ingatan ku yang digunakan oleh Mail menagih simpati kami.

'Sekarang dah jam 12 malam. Kita terus sahur sajalah'. Yus memberikan cadangan. Aku dan Mal bersetuju.
'Tapi Mail belum balik'. Aku bersuara. 'Pandai-pandai dialah'. Kata Yus. 'Mungkin dia bersahur dengan Mak Wanya'. Tambah Mal pula. Lagi pun kami tahu yang Mail ada bawa kunci bilik. Tak perlulah dia nak kejutkan kami sekiranya kami dah tertidur.

Aku, Yus dan Mal awal pagi lagi dah bangun. Mail masih tidur. Malah kami pun tak sedar pukul berapa dia balik. Tiba-tiba Mail bingkas bangun dan bersuara. 'Awat tak gerak aku. Aku belum makan soq'. Loghat Penangnya masih tak lekang. 'Nak sahur apa...... sekarang dah jam 6.30 pagi'. Kata Yus sambil tersenyum sinis. 'Aku lapaq...... roti semalam ada lagi'. Mail bersuara lagi. 

Selepas 'Check Out' kami bergerak menghala ke Kota Tinggi. Kami bertiga berbual-bual. Mail diam saja.
Tiba-tiba di suatu ketika Mail bersuara. 'Tolong, tolong berhenti, aku dah dah tak tahan...... sakit perut'.

Berhenti saja kereta, Mail terus keluar dan berlari kearah hutan berhampiran. Pantasnya dia berlari. Mungkin lebih pantas dari Rabuan Pit (Pelari pecut Era 70'an). 

'Itu dah kena kerusi merah, beruang merahlah tuu'. Kata ku. 'Apa dia'. Yus kurang faham dan bertanya kepada ku. 'Chair Red, Bear Red' jelas ku. 'Cirit biritlah tuu'. Bersuara Mal, menerangkan dengan lebih jelas. 'Yang pegi makan roti dengan sambal tuu siapa suruh'. Tambah Yus lagi. Kami ketawa.

Hampir sepuluh minit Mail kembali ke kereta. 'Apa macam'. Yus bersuara lagi. 'Legalah sikit'.Jawab Mail.

'Nii apa ni, ada bau'. Aku bertanya. 'Kat sana tak ada air, aku beristinja' dengan batu saja' jawab Mail. Yus dan Mal ketawa sambil memicit hidung. 

Selang tak berapa jauh kereta bergerak ternampak kami papan tanda tertulis KAWASAN BAHAYA, AWAS PELURU HIDUP. Rupanya disini adalah 'Pulada' (Pusat Latihan Tentera Darat). 

Cadangan untuk terus ketempat kerja terpaksa dipinda. 'Check In' di hotel dahulu untuk memberikan laluan dan keselesaan kepada Mail. 

Kini anak gadis ku telah menemui jodohnya dengan orang Kota Tinggi. Setiap kali aku pergi menziarahi cucu pastinya melalui kawasan ini. Setiap kali itulah aku pasti teringatkan Mail. Awas Peluru Hidup. 

No comments:

Post a Comment