Tuesday, February 22, 2011

PAK NGAH SURI

Aku memandu sendirian. Balik kekampung kerana ada urusan di Pejabat Tanah pada esok hari.
Dari Lebuhraya aku menyusuri jalan biasa. Keluar melalui Tol Taiping dan terus menghala ke utara. Waktu sudah hampir jam 1.00 tengahari. Perut ku telah memberi isyarat untuk di isi. Ku perhatikan kiri kanan jalan kalau ada tempat untuk berhenti makan.

Aku bernasib baik kerana di sebelah kiri jalan terdapat sebuah kedai makan. Ramai orang di situ. Masakannya tentu sedap, sebab tuu ramai orang singgah. Kata hati ku. Aku pun memberhentikan kereta.
Di suatu sudut yang tak jauh dari ' Cashier ' terdapat satu meja kosong kerana pelanggan baru saja beredar.
Ku labuhkan punggung ku di kerusi kosong di situ. Seorang kanak-kanak perempuan bertudung labuh dalam lingkungan umur 10 tahun datang bertanya kepada ku dengan sopannya. ' Assalamualaikum, Encik nak makan apa ' sambil menghulurkan menu hidangan kepada ku.
Selesai makan aku beredar ke meja ' Cashier ' untuk membuat bayaran. Seorang lelaki yang hampir sebaya dengan ku yang berada di situ memandang ku dari atas ke bawah sambil menggelengkan kepalanya. ' Ini kan ..........'. Dia bersuara. ' Ya '. jawabku. Beliau bangun dan terus memeluk aku. ' Saya Amat anak Angah Shamsuri '. beliau memperkenalkan diri. Airmata menitis gembira kerana hampir 30 tahun kami tidak bersua.

' Hari ini tak payah bayar. Saya belanja '. Katanya. Gelagat kami diperhatikan olih pelanggan-pelanggan yang hampir memenuhi kedai makan tersebut. 
' Apa khabar Pak Angah Suri dan Mak Ngah Lijah '. Aku mengajukan soalan kepada Amat.
Mak dan ayah dah meninggal. Mak baru 3 tahun lepas manakala ayah pula dah pergi hampir 10 tahun.

' Di mana kubur mereka '. aku bertanya lagi. 

' Emak dikebumikan di Johor kerana ketika itu emak tinggal bersama adik Sufiah. Kamu ingat lagi tak Sufiah. Dia dah kahwin dan bekerja di Johor Bahru sebagai Ustazah. 
' Ayah pula kuburnya tak ada di sini, ayah meninggal di Mekah '. Jelas Amat. Air mata mengalir di pipinya.

Aku berjanji akan datang lagi menziarahi Amat. Pastinya ke Restoran Amat Hj Shamsuri Al Banjari yang menghidangkan makanan istimewa yang lazat.
Sebelum sampai ke rumah aku singgah di pekan. Kemudian ke tepi sungai berhampiran. Berseorangan. Terkenangkan kembali kisah bagaimana aku mengenali keluarga Amat. Tentunya Pak Ngah Suri. Yaa... Allahyarham Haji Shamsuri Al Banjari.

Aku dari kecil sudah dilatih untuk membantu keluarga bekerja di sawah. Meskipun tubuh ku tak sebesar mana, tapi aku mampu untuk melakukan keseluruhan kerja. Dari membajak hingggalah ke menuai.

Kini aku sedang menunggu keputusan SPM. Tadi, sahabat ku Non ada datang mengajak aku turut serta mengambil upah menuai padi di sawah Pak Ngah Shamsuri iaitu kira-kira 40 km dari kampung kami. Aku berhasrat untuk turut serta dan memohon izin dari emak dan ayah.

' Tak apa, pergilah ' kata ayah kerana di kampung pun tidak ada banyak kerja yang hendak dilakukan. Kerja-kerja merumput dan membaja ayah bolih buat sendiri. ' Emak pun bolih membantu ayah kamu, pergilah tapi pastikan sembahyang jangan tinggal '. Emak mencelah. ' Baiklah ayah, emak. Terima kasih '. Ujarku dengan wajah yang gembira.

Besoknya kami berlima ( macam cerita Hang Tuah pula ) memulakan perjalanan sejauh 40 km dengan menaiki basikal. Aku adalah yang paling muda.

Kedatangan kami disambut gembira olih keluarga Pak Ngah Suri iaitu yang terdiri daripada Pak Angah Suri, Mak Ngah Lijah, anaknya Amat, Sufiah dan Pejal. Olih sebab Pak Ngah Suri masih pekat bahasa banjarnya malah itulah bahasa hariannya maka akan aku ungkapkan kembali percakapannya dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Kami disediakan sebuah dangau di sawah Pak Ngah Suri. Selesa untuk 5 orang tinggal. Disediakan periok belanga dan pinggan mangkuk. Sesuai sekiranya kami berhasrat untuk memasak sendiri.

' Esok bulihlah mula begawik ' ( Besok bolihlah mula bekerja ). Pak Ngah Suri memulakan cakapnya ketika berkunjung ke dangau kami. Amat, Sufiah dan Pejal turut serta sambil membawa bantal dan kain selimut untuk kami. 

' Amun handak nyor anum ambillah tapi kulitnya jangan di timbai dalam bandang. Simponi setampat '. (Kalau hendak nyiur muda ambillah tapi kulitnya jangan dibuang dalam bendang. Simpan setempat). Ujar Pak Ngah lagi.

Pak Ngah Suri dan anaknya Amat selalu sangat bertelagah cakap, bertelagah pendapat tetapi hubungan mereka terjalin rapat dan akrab. Ini kerana Pak Ngah Suri cakapnya tak mahu dikalahkan olih Amat dan apa-apa pun dia mesti lebih baik dari Amat. Amat pula yang pastinya hanya ingin menghangatkan suasana.

Amat yang juga sedang menunggu keputusan SPM aliran Arabnya membuka gerai makan menjual nasik lemak, meehon dan lain-lain lagi di tepi jalan tidak jauh dari rumahnya. ' Amun kulir begawik di bandang, amun hakon bejejualan ayah julungi mudal '.( Kalau malas bekerja di bendang, kalau sanggup berjualan ayah akan beri modal ). Demikian cerita Amat kepada kami mengenai apa yang di cakapkan olih Pak Ngah Suri kepadanya.

Kami beruntung kerana jualan Amat yang tak habis selalunya akan diberikan kepada kami. Rezeki Amat murah, kalau tak habis pun biasanya sedikit sangat. Pada waktu petang sebelum masuk waktu Maghrib Amat dan dan Pak Ngah Suri selalu berada di dangau kami. Macam-macamlah cerita mereka. Termasuk isu-isu semasa. Di surau Pak Ngah jadi Imam dan Amat jadi Bilal Gantian seandai Bilal tidak dapat hadir. Surau yang bolih memuatkan hampir 60 orang itu biasanya akan mengisi separuh daripada kapasiti tersebut. Kami juga akan mengikuti mereka almaklumlah kedatangan mereka ke dangau kami secara tak langsung adalah sebagai menjemput.

' Ayah, tadi aku tulak meliat urang main buah bul '. ( Ayah, tadi aku pergi melihat orang main bola sepak ).Bersuara Amat kepada ayahnya. 

Disekolah berhampiran diadakan sukan dan juga sebagai mendapatkan sedikit dana diadakan perlawanan bolasepak Padang didindingi dengan kain guni. Sesiapa yang hendak pergi melihat perlu membayar tiket.

' Aku pun tulak meliat. Awan Guru Basarnya sekali. Aku masuk Freee '. ( Aku pun pergi tengok, bersama dengan Guru Besarnya sekali. Aku masuk percuma). Jawab Pak Ngah Suri kepada anaknya Amat yang pastinya menjelaskan dia lebih baik dari Amat. Itu suatu cerita mereka pada suatu petang ketika berkunjung ke dangau kami.

Di hari lain, lain pula ceritanya. Sebagaimana berikut:-
' Tadi aku nukar SAWA, murah saja Lima Belas Ringgit '. ( Tadi aku beli SAWA, murah saja Lima Belas Ringgit ). Kata Pak Ngah Suri kepada kami dan Amat menjelaskan beliau telah membeli acuan kueh samperit yang di pesan olih Mak Ngah Lijah.
' Yah, aku nukar lagi murah, Dua Belas Ringgit saja '. ( Yah, aku beli lagi murah, Dua Belas Ringgit saja ). Bersuara pula Amat kepada ayahnya kerana kebetulan Mak Ngah Lijah juga ada menyatakan hasratnya nak beli acuan kueh samperit tersebut kepada Amat. 
' Bat mu kuman, bat ku original '. ( Kamu punya koman, aku punya original ). Begitulah gelagat Pak Ngah Suri.memberikan jawapan balasnya kepada Amat.
Di suatu petang lain ini pula ceritanya.
' Ayah, amun tulak ke pakan Tiping jangan mambawa duit bebanyak, ramai maling. Koloku duit ayah di cuntan. Ayah wani '. ( Ayah, kalau pergi ke pekan Taiping jangan bawa duit banyak, ramai pencuri. Nanti duit ayah kena curi. Ayah berani). Bersuara Amat kepada ayahnya sebagai peringatan.

Sebagai jawapan Pak Ngah Suri menjawab. ' Aku dah tulak ke pakan Tiping, kadak adak apa-apa pun. Nah, sinik Lima Ratus, sinik Lima Ratus '. ( Aku dah pergi ke pekan Taiping, tak ada apa-apa pun. Nah di sini Lima Ratus Ringgit, sini Lima Ratus Ringgit ) Sambil menunjukkan poket bajunya sebelah kiri dan kanan. ' Lagi pun ini ada makna '. Sambil pula menunjukkan siku kiri dan kanannya. Pak Ngah Suri memang seorang yang pandai bersilat. Tambahnya lagi ' Di Pakan Tiping seberataan nandu aku '. ( Di Pekan Taiping semua orang kenal aku )

Apa tidaknya apabila orang tersentuh atau terlanggar beliau kerana beliau sendiri pun suka berjalan sesuka hatinya sahaja orang selalunya akan berkata  SORRY. Anggapan Pak Ngah Suri orang menyebut namanya.

Namun kami tetap tidak lupa bagaimana di suatu malam kami ada memasak bubur kacang campur durian. Amat ada sekali. Pak Ngah Suri datang bertandang. 

Dalam perbualan, ada kami menyebut mengenai bubur kacang dan ketika itu bubur kacang masih lagi di dapur.

'Aku kalau bubur kacang cukup tak lalu. Kuman la. Urang makanlah Beef Steak kah, Sup Kambing kah'. Ujar Pak Ngah Suri. Di ulanginya ' Aku cukup tak lalu, bagi free pun aku tak ndak '.

Selang beberapa ketika Non sahabat ku mengeluarkan bubur kacang dari dapur. Kami dan Amat makan. Pak Ngah Suri mohon beredar meskipun pada amatan ku air liur meleleh di bibirnya.

Selesai menuai padi dengan wajah berseri-seri Pak Ngah Suri datang untuk memberi upahnya kepada kami. Beliau amat berterima kasih kepada kami.

' Ini semua upahnya, akuu dah kira berapa bijik buah nyor anum yang hampa makan. Aku kira murah saja sebijik lima kupang. Amun di Kuala Lumpur sagan kuu labih seringgit sebijik . Jadi labih kurang berilaan lah '.( Ini semua upahnya, aku dah kira berapa biji buah nyior muda yang kamu semua makan. Aku kira murah saja sebiji lima puluh sen sahaja. Kalau di Kuala Lumpur anggaran kuu lebih seringgit sebiji. Jadi lebih kurang bermaafanlah kita ) Pak Ngah bersalaman dengan kami semua.

Kami berlima berpandangan sesama sendiri. Yang tentunya akulah yang paling banyak makan nyior muda.

Rupanya itulah kali terakhir aku melihat wajah Pak Ngah Suri.

Tiba-tiba bahu ku di tepuk diiringi dengan ucapan salam.Rupanya abang kuu sudah lama melihat aku mengelamun. Ku hidupkan injin kereta dan mengekori motosikal abang ku pulang ke rumahnya.

Di dalam kereta aku berbisik sendirian. Oooh terlalu indahnya hidup ini. Betapa besarnya keagungan Ilahi.

No comments:

Post a Comment