Sunday, February 13, 2011

Cinta seorang cucu

Selesai tugas hari itu aku dan Yus berhasrat untuk kembali ke Rumah Rehat di Pusat Penyelidikan.

Aku memandu perlahan, melewati kawasan perumahan. Tiba-tiba di bawah redup pohon ketapang kelihatan seorang gadis manis menahan kereta kami. Yus tergamam dan aku juga berdegup deras jantung. Manakan tidak kerana gadis bak bidadari ingin menumpang kereta kami. Tak disangka di perumahan sebegini ujud gadis secantik ini.

Tanpa terasa kaki ku menekan berek dan berhenti dihadapan gadis manis yang keseorangan. Yus yang terkenal dengan ramahnya terus menyapa. 'Ada apa yang bolih kami tolong'.

'Memang saya sangat-sangat nak minta tolong kalau abang menuju kearah yang sama'. Sahut gadis tersebut yang terus memperkenalkan dirinya sebagai Leena.

'Leena ..... ya sedap nama itu'. Respon spontan dari Yus.

'Ya .... Leena Suparman'. Leena memperkenalkan dirinya lebih detail.

'Kami nak ke Pusat Penyelidikan'. Aku pula bersuara.

'Ooh! kalau begitu tentulah lalu di kawasan perumahan Bunga Raya'. Kata Leena.

'Ya ..... Sahut ku.

Leena menghulurkan alamat tempat dituju. Dengan ringan tangan Yus menyambutnya.
'Ini tak jadi masalah'. Kata Yus sambil menunjukkan alamat tersebut kepada ku.

Aku mengangguk saja meskipun aku tahu kawasan perumahan tersebut agak jauh dari jalan besar yang kami lalui.

'Tak apalah.... abang simpan saja alamat itu'. Tambah Leena lagi.
'Terima kasih kerana abang sanggup hantar'. Leena bersuara lagi sambil mengukir senyuman yang teramatlah manisnya.

Kemudian Leena meminta kami menunggu sebentar kerana nak mengambil sesuatu di rumahnya. Rumahnya kurang jelas kerana dilindungi pepohon rambutan yang sedang berbuah lebat.

Yus memandang aku sambil tersenyum. Aku diam sahaja. Hari semakin lewat petang.

Tanpa kami sedari Leena sudah berada berhampiran pintu kereta bersama seikat rambutan di tangan kanan dan beg pakaian di tangan kiri. Dalam hati aku berkata ini rambutan gula batu. Tentu manis semanis orangnya.
Turut serta seorang nenek di pimpin olih seorang kanak-kanak kecil berusia dalam lingkungan 7 tahun. Dalam hati aku berkata nenek dan cucunya ini mungkin nak mengucapkan selamat jalan kepada Leena.

'Ini nenek saya namanya Bedah dan ini adik saya namanya Aiman'. Leena memperkenalkan.

'Apa Khabar Nek, Aiman'. Dengan ramah mesranya Yus menyapa.

'Alamat tadi ada pada abang ya..'. Leena inginkan kepastian.

'Ya, ya .....'. Kata Yus.

'Saya benar-benar nak minta tolong abang hantarkan nenek saya ke alamat tadi'.
'Leena dan Aiman tak ikut'. Aku bersuara.

'Tidak, saya besok dah nak balik ke KL dan Aiman pula besok sekolah'. Leena menerangkan keadaan.

'Okey, tak apa, baiklah'. Kata Yus. Dalam hatinya tuhan sahaja yang tahu.

Aku pula tiba-tiba saja teringat bait-bait lagu ' Hati Hancur Bagai Debu '.

Sebelum kereta kami bergerak, Leena mengucapkan terima kasih yang teramat sangat dan budi baik kami Tuhan saja yang dapat membalas dan katanya lagi ' Rambutan tuu untuk abang berdua '. ' Manis ' tambahnya lagi.

Leena dan Aiman melambaikan tangan sehinggalah kereta kami tidak lagi kelihatan.

Dalam kereta kami tak banyak berbual. Masing-masing melayan perasaan. Nenek Bedah pula sudah tertidur.

Dari jalan besar kami menyusuri jalan ke Perumahan Bunga Raya.

' Yus, tolong tengokkan alamat tadi '. Aku bersuara.

Kata Yus sebagai Pemandu Arah. ' Masuk Kanan, jalan terus, belok kiri, terus '. Akhirnya kami sampai ke jalan mati.

' Yus, kita dah salah jalan ini '. Aku bersuara dengan nada yang sedikit tinggi. Nenek terjaga dari tidur dan bertanya ' Kenapa Nak '.

' Nenek, rumah yang kita nak pergi ini nenek tahu tak jalan apa '. Yus bertanya nenek.

' Kalau tak silap nenek, jalan tiga suku '. Jelas nenek.

' 3/4 lah tuu ya nek '. Aku mencelah.

' Tapi di sini Leena tulis jalan 3 1/4 '. Dengan nada kesal Yus berkata sambil menunjukkannya kepada ku.
Setelah puas mencari akhirnya kami sampai ke rumah yang hendak dituju.Ketibaan kami disambut meriah, penuh kesyukuran oleh keluarga Pak Abu. Iaitu bapa saudara Leena.
Pak Abu tak mampu nak mengambil ibunya di rumah Leena kerana kesukaran hendak bergerak disebabkan sakit Gout.

Kami dipelawa singgah. Kami sempat melawat Pak Abu sebentar. Kerana waktu hampir Maghrib kami mohon untuk terus saja kembali ke tempat penginapan di Pusat Penyelidikan. Sebelum itu terdengar kami deringan telefon di rumah Pak Abu kerana Leena inginkan kepastian mengenai ketibaan neneknya di rumah tersebut. Itulah cinta seorang cucu kepada neneknya.

Sebelum kami beredar isteri Pak Abu memberikan kami 4 biji buah durian. ' Ini durian klon. Manis dan kuning isinya '. Kata isteri Pak Abu sambil sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada kami.
Di tempat penginapan Yus menghulurkan buah rambutan kepada ku. ' Makanlah '. Kata Yus. Ku ambil sebiji, namun bagi ku tak terasa pun manisnya. Durian kami tinggalkan sahaja dalam kereta.
Besoknya semasa sarapan pagi, aku bertanya kepada Yus. ' Nampaknya semalam kamu tidur tak lena '.
' Bukan lenalah, tapi Leena '. Yus menjawab dengan seribu makna.

' Kamu pula rambutan yang Leena berikan tu manis tak....  Aku tengok sebiji sahaja yang kamu makan '.
Sindir Yus. Aku diam sahaja sambil melemparkan senyuman tawar.

Peristiwa yang berlaku sudah 30 tahun berlalu. Namun masih segar dalam ingatan. Apatah lagi Yus memberitahu aku bahawa anaknya yang mengikuti 'Pengajian Perakaunan' akan menghadiri Konvokesyen tidak lama lagi dan menerima Anugerah Canselor. Yang menjadi lebih menarik lagi ialah Leena Suparman adalah merupakan Pensyarah Perakaunan di Universiti tersebut dan anak Yus merupakan anak didik kesayangannya.

' Aku akan hadir awal di Majlis Konvokesyen anak aku nanti. Yang pastinya aku juga ingin melihat wajah Leena Suparman. Tahi lalat dibibir tak ubah seperti Seniwati Latifah Omar tentunya masih kekal menghiasi wajah '. Yus berkata kepada ku dengan penuh semangat. Ternyata Yus terlalu ceria. 

Begitulah indahnya kehidupan yang disusunatur oleh Allah Subhanahuwataala.

No comments:

Post a Comment